Keperluan terhadap khidmat nasihat profesional tidak terhenti selepas sesebuah syarikat ditubuhkan, sebaliknya berkembang seiring peningkatan skala dan kerumitan operasi.
Apatah lagi dengan pertumbuhan perniagaan bukan sekadar diukur berdasarkan peningkatan jualan atau nilai syarikat, sebaliknya turut bergantung pada keupayaan mengurus risiko, memperkukuh tadbir urus serta merancang hala tuju organisasi secara mampan.
Menyedari realiti itu, HYCO Group berjaya membangunkan ekosistem khidmat nasihat profesional bersepadu yang menghimpunkan kepakaran dalam bidang perundangan, kewangan, perakaunan, percukaian, sumber manusia dan tadbir urus korporat bagi membantu perniagaan mengharungi pelbagai fasa pertumbuhan.
Pengarah Urusannya, Hisyam Yunus berkata, keupayaan pihaknya membangunkan rangkaian kepakaran profesional berkenaan sekaligus mendapat pengiktirafan apabila kumpulan berkenaan menerima anugerah dalam kategori Commercial Dispute Resolution & Strategic Legal Advisory Firm of the Year 2026 – Malaysia menerusi APAC Business Awards 2026.
“Apabila kumpulan korporat yang mempunyai operasi dan nilai perniagaan berbilion ringgit memberikan kepercayaan kepada kami sebagai penasihat profesional atau rakan strategik, ia merupakan satu tanggungjawab yang besar.
“Kepercayaan tersebut bukan sesuatu yang boleh dibina dalam tempoh singkat. Ia memerlukan integriti, disiplin profesional, pemahaman komersial serta kemampuan memberikan penyelesaian yang praktikal kepada pelanggan,” katanya baru-baru ini.
Hisyam berkata, pihaknya berusaha memainkan peranan sebagai rakan penasihat strategik kepada pelbagai jenis perniagaan, termasuk syarikat yang sedang berkembang, perusahaan milik pengasas dan kumpulan korporat yang berhadapan cabaran komersial kompleks.
Matlamatnya adalah memastikan pelanggan mempunyai akses kepada kepakaran yang diperlukan untuk menilai risiko, memahami implikasi sesuatu keputusan dan merancang pertumbuhan berdasarkan kedudukan sebenar perniagaan.
“Peranan kami bukan sekadar memberikan nasihat terhadap sesuatu masalah yang telah berlaku, tetapi juga membantu pelanggan mengenal pasti risiko lebih awal, memperkukuh tadbir urus dan membangunkan penyelesaian jangka panjang,” katanya.











