NEW DELHI: India menutup ruang demonstrasi di Jantar Mantar, New Delhi, yang selama lebih tiga dekad menjadi lokasi utama rakyat menyuarakan bantahan dan protes.
Keputusan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan aktivis mengenai ruang demokrasi yang semakin terhad di negara itu.
Polis New Delhi dalam arahan yang dikeluarkan awal minggu ini memaklumkan, status Jantar Mantar sebagai lokasi rasmi perhimpunan awam ditarik balik, tanpa memberikan sebarang alasan.
Langkah itu diambil beberapa hari selepas berlaku pertembungan antara pihak berkuasa dengan penunjuk perasaan antikerajaan yang diketuai gerakan dalam talian Cockroach Janta Party (CJP).
Kumpulan yang dipimpin golongan muda itu berjaya menggerakkan ribuan orang turun ke jalanan bagi membantah semakan daftar pemilih yang menurut pengkritik boleh menyebabkan pengundi yang layak hilang hak mengundi.
Bantahan itu berlaku beberapa bulan selepas demonstrasi berasingan berhubung penyelewengan dalam peperiksaan memaksa Menteri Pendidikan meletakkan jawatan.
Selama lebih 30 tahun, kawasan berhampiran balai cerap Jantar Mantar yang dibina pada abad ke-18 itu menjadi lokasi pelbagai kumpulan menyuarakan tuntutan dan mendesak pihak berkuasa bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.
Lokasinya yang berhampiran pusat komersial New Delhi serta pusat pentadbiran politik menjadikan Jantar Mantar antara pentas utama bagi bantahan awam di India.
Walaupun pihak berkuasa menetapkan tiga lokasi alternatif untuk demonstrasi di New Delhi, aktivis berpendapat kemudahan untuk menarik perhatian umum serta kedudukan yang berhampiran dengan ahli politik penting bagi menjamin hak berhimpun di negara demokrasi terbesar dunia itu.
“Jantar Mantar terletak di tengah bandar, mudah dihubungi dan bersebelahan Parlimen. Ia merupakan lokasi yang sangat penting bagi semua demonstrasi.
“Ini tidak lain tidak bukan merupakan langkah untuk menyekat suara bantahan,” kata aktivis hak asasi manusia, Shabnam Hashmi, kepada AFP.











