ALOR SETAR: Polis Kedah berjaya membongkar kegiatan penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai Biro Penyiasatan Pusat (CBI) India susulan 48 suspek termasuk tujuh warga tempatan diberkas dalam operasi di Kulim, Jumaat lalu.
Antara yang dirampas adalah tiga helai seragam polis India, topi pegawai, bendera negara berkenaan, bendera CBI India dan papan berlogo polis India yang digunakan untuk memperdayakan mangsa.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sindiket yang beroperasi sejak penghujung Ogos lalu sudah berjaya mengaut kira-kira RM1.4 juta hasil penipuan terhadap 73 mangsa yang kesemuanya warga India di negara berkenaan.
“Mereka menggunakan aplikasi Telegram untuk berkomunikasi dan menguruskan aktiviti, berdasarkan analisa skrip penipuan yang dirampas, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa dengan mendakwa nombor telefon mereka terlibat dengan kes menyalahi undang-undang India.
“Kesemua mangsa diarahkan memindahkan wang dalam akaun bank milik mereka ke akaun bank yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan polis. Setakat ini, tiada warga tempatan yang menjadi mangsa sindiket ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Adzli berkata, daripada kesemua suspek yang ditahan, 28 merupakan lelaki Pakistan, lima wanita Pakistan serta enam lelaki dan dua wanita warga India berusia 20 hingga 43 tahun.
Menurut beliau, tujuh warga tempatan berusia 44 hingga 55 tahun yang ditahan pula terdiri daripada pasangan pemilik premis, ejen hartanah dan penyewa bangunan itu serta juruteknik dan penyedia makanan kepada ahli sindiket.
Katanya, kesemua warga asing terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah ke negara ini dan mengakui kononnya ditipu tawaran bekerja sebagai operator tele-pemasaran di sini.
“Sebanyak 89 telefon bimbit dirampas selain tujuh komputer riba dan pelbagai peralatan lain termasuk set skrip bahasa Inggeris untuk memperdaya mangsa. Jika mangsa tidak mahir, suspek akan menukar perbualan kepada bahasa negara itu.
“Secara keseluruhan nilai rampasan mencecah kira-kira RM70,000. Manakala, lima unit premis yang disewa untuk melakukan kegiatan itu dibayar sehingga RM15,000 sebulan kepada pemiliknya,” katanya.
Menurut Adzli, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu; Seksyen 120b kanun keseksaan berkaitan kesalahan pakatan jahat jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 disebabkan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Tambah beliau, pihaknya sudah memaklumkan kegiatan itu kepada Kedutaan India dan akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) sekiranya diperlukan. – UTUSAN











