KUALA KANGSAR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) sedang menantikan pekeliling berhubung gaji minimum graduan RM2,500 sebulan untuk dilaksanakan dalam sektor awam.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, pekeliling amat penting sebagai rujukan bagaimana dasar itu akan dilaksanakan memandangkan bakal melibatkan peruntukan kewangan besar serta bilangan penerima yang ramai.
“Apa juga yang telah pun disampaikan itu (Belanjawan 2027) adalah baik. Perkara ini dianggap sebagai satu bentuk penambahbaikan.
“Cuma kita harus menunggu pekeliling. Ini penting tentang bagaimana perkara itu hendak dilaksanakan, bagaimana perlu diberikan atau tempohnya.
“Ini memerlukan satu tatacara yang lebih terperinci,” katanya semasa menghadiri majlis penyerahan aset Sekolah Angkat MADANI SPA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru di sini hari ini.
Semasa pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan dengan memperkenalkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan pada kadar RM2,500 sebulan sebagai permulaan.
Ahmad Jailani percaya pihak yang bertanggungjawab telah memulakan tugas-tugas bagi menjayakan dasar gaji graduan tersebut.
Dalam majlis yang dihadirinya, pelaksanaan Sekolah Angkat MADANI SPA 2026 di SMK Simpang Beluru itu melibatkan peruntukan RM100,000 bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran berkualiti merangkumi naik taraf fizikal, peralatan teknologi serta program kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Sementara itu berhubung kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Ahmad Jailani berkata isu tersebut diserahkan kepada pihak Peguam Negara serta mereka yang lebih berwibawa dan berkuasa untuk menguruskannya.
“Netizen dan yang lain tidak perlu mencetuskan polemik dan membuat tafsiran sendiri tanpa mengetahui perkara sebenar. Kita tidak perlu terlibat dan biarkan kepada mereka yang betul-betul arif mengenai hal itu,” katanya. – UTUSAN











