MAI sasar empat penerbangan seminggu Yangon-Pulau Pinang tahun depan - Utusan Malaysia

MAI sasar empat penerbangan seminggu Yangon-Pulau Pinang tahun depan

WONG Hon Wai (kanan) bersama Tanes Kumar ketika menghadiri sesi kerjasama pelancongan Myanmar-Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Myanmar Airways International (MAI) menyasarkan untuk menambah kekerapan penerbangan terus Yangon-Pulau Pinang kepada empat kali seminggu menjelang suku pertama tahun depan susulan peningkatan daripada dua kepada tiga penerbangan seminggu sejak Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Tanes Kumar berkata, penambahan itu dirancang bagi memenuhi permintaan perjalanan antara kedua-dua destinasi selain mengukuhkan hubungan pelancongan serta kerjasama industri antara Pulau Pinang dengan Myanmar.

“Statistik semasa menunjukkan bahawa laluan berkenaan telah menarik penumpang dari Myanmar dan negara lain, namun, masih banyak peluang untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengenali Myanmar sebagai destinasi pelancongan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelancong Malaysia boleh memasuki Myanmar tanpa visa bagi tempoh sehingga 14 hari sejak 2025, sekali gus memberi kemudahan kepada mereka yang ingin meneroka destinasi berkenaan,” katanya selepas menghadiri sesi kerjasama pelancongan Myanmar-Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, MAI mengendalikan sebanyak 140 penerbangan bagi laluan berkenaan sehingga 31 Julai lalu dengan jumlah terkumpul seramai 15,885 penumpang.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya empat peratus penumpang merupakan rakyat Malaysia manakala baki 96 peratus lagi terdiri daripada warga Myanmar dan negara lain.

Jelas beliau, situasi ini secara tidak langsung menunjukkan potensi yang ada pada Pulau Pinang untuk menarik lebih ramai pelawat antarabangsa melalui laluan penerbangan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini