Habitat mengecil ancam kelangsungan primat - Utusan Malaysia

Habitat mengecil ancam kelangsungan primat

ABDUL Latiff Mohamad berucap dalam penutupan Persidangan BM Primat2026 di Bukit Merah, Bagan Serai semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pembalakan dan penukaran guna tanah hutan kepada ladang serta pembangunan lain mengancam kelangsungan primat apabila habitat dan sumber makanan haiwan berkenaan semakin berkurangan.

Pakar taksonomi dan biodiversiti tempatan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad berkata, kemusnahan habitat akibat kegiatan manusia memberi tekanan kepada Orang Utan serta primat lain, termasuk kera dan beruk.

“Apabila tempat tinggal haiwan ini semakin mengecil dan berkurangan, populasi serta sumber makanan  juga berkurangan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada penutup Persidangan Antarabangsa Bukit Merah mengenai Primatologi, Penglibatan Komuniti dan Masa Depan Pemuliharaan (BM Primat2026) di Bukit Merah Laketown Resort di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah berkata, persidangan itu turut membincangkan kesan pembakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan terhadap Orang Utan, selain ancaman pembalakan serta penukaran guna tanah yang menjadi habitat haiwan berkenaan.

Beliau berkata, pemburuan dan penyeludupan hidupan liar juga masih berlaku meskipun isu tersebut telah dibincangkan sejak 20 hingga 30 tahun lalu, dengan pelbagai haiwan menjadi sasaran kegiatan berkenaan.

Dalam usaha menangani ancaman itu, katanya, penyertaan peserta dari Indonesia, Sabah, Sarawak dan Singapura membuka peluang untuk bertukar idea serta pengalaman bagi memperkukuh pemuliharaan primat.

“Pengalaman yang kita peroleh di Indonesia boleh dipertimbangkan untuk digunakan di sini. Begitu juga pengalaman di sini yang boleh dimanfaatkan di sana, termasuk di Kalimantan,” katanya.

Abdul Latiff berkata, peserta berpengalaman turut berkongsi pengetahuan mengenai pemuliharaan, penjagaan haiwan dan cara berinteraksi dengan pembuat dasar, manakala peserta muda digalakkan meneruskan usaha tersebut.

Menurutnya, usaha meningkatkan kesedaran orang awam mengenai Orang Utan juga penting bagi menggalakkan minat terhadap haiwan itu serta sumbangan untuk membantu penjagaannya.

“Antara rumusan persidangan ini ialah kita akan terus berhubung dan menjalin kerjasama. Kita juga berjanji untuk bertemu semula dua tahun lagi bagi membincangkan perkembangan usaha yang dirancang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini