KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui Hakim Danish Ramli masih belum mencapai tahap kematangan yang diharapkan terutama dalam mengendalikan prestasinya sebagai pelumba yang bersaing dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
Beliau berkata, cabaran sekarang bagaimana membentuk personaliti yang diharapkan setara dengan pelumba berbakat besar dari Sepanyol, Brian Uriarte.
“Saya agak kecewa dengan keputusan Hakim Danish sejak kebelakangan ini. Dia sering melakukan kesilapan berulang sehingga beberapa kali dikenakan penalti yang merugikan diri sendiri.
“Sikap gopoh Hakim Danish menjejaskan kutipan matanya, walaupun masih ada sisi positif dan kita nampak potensi dia, daripada belakang boleh sampai kedudukan 10 terbaik.
“Tetapi, cuba bayangkan kalau dia berada pada grid yang lebih baik, Hakim Danish mampu berada dalam kedudukan podium, sebab itu potensi yang dia mampu lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, kelmarin.
Justeru, menurut Zulfahmi, menjelang Grand Prix (GP) Malaysia, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi bersama pasukan Hakim Danish, MSi Racing Team iaitu bermula dari sesi latihan bebas, kelayakan sehinggalah ke hari perlumbaan.
Tegasnya, penting untuk Hakim Danish menguruskan dengan bijak emosinya dan jangkaan yang diletakkan kepada diri sendiri agar proses kemajuannya tidak terjejas.
“Saya mahu dia ambil langkah demi langkah, bukannya terlalu mendadak. Kadang-kadang semasa sesi latihan bebas, Hakim Danish terjatuh sebab dia nak terus pergi lebih laju, perkara-perkara ini akan merugikan dia,” ujarnya.
Untuk perancangan jangka panjang, Zulfahmi memberitahu, beliau merancang untuk mendapatkan khidmat pakar psikologi sukan yang mampu membantu mengubah cara Hakim Danish berfikir.
“Saya sebenarnya tengah cari beberapa khidmat pakar psikologi antarabangsa supaya dapat membantu Hakim Danish berfikir pada tahap yang sama dengan pelumba MotoGP kerana saya difahamkan semua pelumba MotoGP berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN











