KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad sepak takraw lelaki negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas regu berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menyaksikan barisan Golden Tigers menerima ganjaran keseluruhan RM160,000 daripada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Ganjaran itu diberikan kepada 12 pemain dan dua jurulatih skuad kebangsaan sebagai penghargaan atas kejayaan membawa pulang satu pingat emas dan satu perak pada temasya berkenaan.
Selain wang tunai, pemain turut menerima jongkong emas serta baucar beli-belah daripada rakan strategik PSM, Telekom Malaysia (TM Group).
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyediakan ganjaran sendiri bagi menghargai pengorbanan pemain, tanpa bergantung sepenuhnya kepada insentif yang disediakan kerajaan.
Beliau berkata, pemberian itu mencerminkan komitmen persatuan untuk memastikan sumbangan pemain mendapat pengiktirafan sewajarnya selepas mengharungi saingan di pentas Asia.
“Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah sepak takraw Malaysia kita memberikan penghargaan kepada pemain dengan jumlah yang agak besar.
“Walaupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), saya bersama jawatankuasa PSM berpendapat persatuan juga perlu mengambil inisiatif sendiri, walaupun jumlahnya tidak besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan Skuad Sepak Takraw Kebangsaan di ibu negara, kelmarin, yang turut dihadiri Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Dr. P. Vellapandian.
Sumali berkata, jumlah ganjaran yang disediakan ditentukan berdasarkan kemampuan kewangan semasa persatuan, namun tidak menolak kemungkinan peruntukan itu ditingkatkan pada masa hadapan.
Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, skuad negara menamatkan kemarau 36 tahun pingat emas acara regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand, 2-0 pada perlawanan akhir.
Malaysia turut menambah koleksi pingat menerusi acara regu lelaki, namun terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi final. – UTUSAN











