SEREMBAN: Penutupan kesemua institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan dilanjutkan hingga esok susulan jerebu yang melanda negara ketika ini.
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) berkata, semua murid termasuk penghuni asrama perlu mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh penutupan berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan PdPR bertujuan memastikan kesinambungan pembelajaran murid selaras dengan ketetapan kementerian.
“Ibu bapa dan penjaga diminta memastikan anak-anak mengikuti PdPR sepanjang tempoh penutupan sekolah.
“Pihak sekolah hendaklah memastikan pelaksanaan PdPR berjalan lancar serta kebajikan dan keselamatan murid, termasuk yang tinggal di asrama, sentiasa terpelihara,” katanya.
Selain itu, JPNS memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa termasuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terlibat, sebelum menyalurkan maklumat rasmi sekiranya terdapat perubahan terhadap pengoperasian institusi pendidikan.
“Ibu bapa, penjaga, calon peperiksaan dan pihak sekolah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk saluran rasmi JPNS bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.-UTUSAN











