KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin membeli tiket konsert mungkin perlu menggunakan kad pengenalan bagi membendung ulat tiket yang menjual pada harga jauh lebih tinggi daripada harga asal.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pihaknya sedang mengkaji penggubalan kerangka undang-undang khusus bagi membendung kegiatan ulat tiket yang menjual tiket acara pada harga jauh lebih tinggi daripada harga asal.
Beliau berkata, setakat ini tiada peruntukan undang-undang khusus yang menangani kegiatan penjualan semula tiket atau ticket scalping itu.
“Kita juga akan kajian, kemungkinan bolehkah kita menggunakan ID ataupun pengenalan nama pada pembelian tiket, maksudnya tidak boleh beli tiket untuk orang lain dan kemungkinan menjual dengan harga yang lebih mahal,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta kerajaan menjelaskan status kajian penggubalan undang-undang khusus bagi menangani kegiatan ulat tiket, kelemahan undang-undang sedia ada serta jangkaan pembentangan cadangan perundangan itu.
Fuziah berkata, pihaknya sedang mengadakan sesi libat urus dengan penganjur acara serta menjalankan kajian perbandingan undang-undang di beberapa negara bagi mengenal pasti mekanisme sesuai untuk menangani kegiatan berkenaan.
“Kementerian memandang serius isu ulat tiket kerana ia melibatkan penjualan semula tiket pada harga lebih tinggi dan kadangkala tidak munasabah.
“Kegiatan ini bukan sahaja menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga tiket yang tinggi dan melampau, malah boleh mendedahkan mereka kepada risiko penipuan apabila membeli tiket daripada penjual tidak rasmi.
“Di bawah Akta 723 ataupun Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dalam seksyen 15(1), memberi punca kuasa kepada Menteri untuk dan kementerian untuk mewujudkan satu mekanisme dalam bentuk peraturan untuk yang boleh kita gunakan untuk mengekang aktiviti scalping ini.
“Maka kita sedang buat kajian berkenaan dengan negara-negara lain, undang-undang yang wujud di negara-negara lain seperti Australia, Ireland, Kanada, Jepun, Taiwan, Singapura dan sebagainya, bagaimana mereka menangani isu scalping ini,” katanya
Tambah Fuziah, antara perkara yang sedang diteliti ialah mewujudkan takrifan khusus kegiatan ulat tiket, menentukan skop aktiviti yang perlu dikawal serta memperkenalkan mekanisme bagi menghalang pembelian tiket secara pukal.
Menurutnya, pembelian tiket dalam jumlah besar, sama ada menggunakan bot automatik atau dilakukan individu, boleh membuka ruang kepada penjualan semula pada harga lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau berkata, peraturan antipencatutan sedia ada tidak dapat digunakan secara langsung untuk menangani kegiatan ulat tiket kerana mekanisme pengiraan pencatutan memerlukan data jualan bagi tempoh tiga tahun.
Katanya, keadaan itu berbeza dengan penjualan tiket acara yang lazimnya bersifat sekali sahaja (one-off), sekali gus memerlukan pendekatan perundangan yang lebih bersesuaian.
“Peraturan tersebut tidak boleh diguna pakai untuk aktiviti ulat tiket kerana ia bersifat one-off. Bagi pencatutan, kita perlu mengeluarkan notis dan mendapatkan data jualan sepanjang tiga tahun,” katanya.-UTUSAN











