Inovasi tingkat prestasi, daya tahan jalan raya - Utusan Malaysia

Inovasi tingkat prestasi, daya tahan jalan raya

NANTA Linggi (tengah) ketika gimik pada majlis perasmian Persidangan & Pameran Jalan Raya Malaysia Kali Ke-13 (2026) dan Kongres Serantau Asia-Pasifik Persekutuan Jalan Raya Antarabangsa (Global) Kali Ke-16 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inovasi dalam kejuruteraan jalan raya perlu terus diteroka bagi meningkatkan prestasi, keselamatan dan daya tahan infrastruktur negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta peningkatan kos penyelenggaraan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, rangkaian jalan raya negara kini berdepan cabaran semakin kompleks, termasuk peningkatan permintaan trafik, aset infrastruktur yang semakin berusia serta kos penyelenggaraan yang terus meningkat.

Katanya, risiko berkaitan iklim seperti cuaca panas melampau, banjir dan tanah runtuh turut menuntut pendekatan lebih berkesan dalam aspek reka bentuk, penyelenggaraan serta perlindungan infrastruktur jalan raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, penerokaan teknologi dan inovasi dalam bidang kejuruteraan jalan penting bagi memastikan infrastruktur berkenaan kekal berfungsi dengan baik, selamat dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.

“Sehubungan itu, inovasi perlu terus diteroka bagi meningkatkan prestasi, keselamatan dan daya tahan jalan raya agar infrastruktur ini dapat terus berfungsi dengan baik untuk generasi akan datang,”  katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia Ke-13 dan Kongres Jalan Asia Pasifik Ke-6 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata, Malaysia bakal meneroka peluang baharu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kejuruteraan jalan menerusi program Young Engineers and Professionals (YEP) dan pertandingan mereka bentuk aplikasi AI-Pathfinder sempena Persidangan Jalan Se-Malaysia Ke-13.

Katanya, pembangunan infrastruktur bersedia masa depan memerlukan penggunaan teknologi yang lebih baik, reka bentuk inovatif, serta perancangan yang berwawasan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi menghasilkan perjalanan yang lebih selamat, cekap, dan saling berhubung, selain memastikan pembangunan infrastruktur terus memenuhi keperluan rakyat.

“Melalui teknologi lebih baik, reka bentuk inovatif dan perancangan berwawasan, kita dapat menyediakan perjalanan yang lebih selamat, cekap dan saling berhubung,” katanya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata menerusi program YEP, para peserta akan diberi peluang membincangkan kaedah penggunaan AI bagi meningkatkan keupayaan kejuruteraan jalan masa depan. 

“Pertandingan AI-Pathfinder akan menjadi platform kepada peserta untuk mereka bentuk aplikasi yang berkaitan dengan pembangunan bidang tersebut,” katanya.

Persidangan yang mengangkat tema Transforming the Nation Through Future-Ready Roads ini turut menghimpunkan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi berkongsi pengetahuan, teknologi, serta inovasi terkini dalam pembangunan infrastruktur jalan raya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini