Penafsiran lafaz al-Ghad menurut perspektif bahasa Arab, ilmu tafsir

Penafsiran lafaz al-Ghad menurut perspektif bahasa Arab, ilmu tafsir

Shaykh Dr. Khalil Ismail Ilyas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Allah SWT berfirman bermaksud:  “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui secara mendalam segala yang kamu kerjakan (Surah al-Ḥashr, 59:18)

 Pengertian Lafaz al-Ghad dari Sudut Bahasa dan Tafsir

Sebagaimana yang diketahui, lafaz al-ghad dalam ayat tersebut mengandungi pengertian masa hadapan, iaitu merujuk kepada masa hadapan yang dekat berdasarkan makna hakiki, manakala penggunaannya bagi menunjukkan masa hadapan yang jauh adalah berdasarkan makna majazi.

Oleh sebab lafaz tersebut mengandungi pengertian masa hadapan, para ulama tafsir telah mentafsirkannya sebagai merujuk kepada Hari Kiamat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan demikian, asas pentafsiran mereka terhadap lafaz al-ghad sebagai Hari Kiamat adalah berdasarkan kandungan makna masa hadapan yang terdapat pada lafaz tersebut, sebagai pembeza daripada masa lampau dan masa kini.

Sekiranya lafaz al-ghad tidak mengandungi pengertian masa hadapan, nescaya para mufassir tidak akan mentafsirkannya sebagai merujuk kepada Hari Kiamat.

2.⁠ ⁠Penentuan Makna Hari Kiamat Berdasarkan Ijtihad Para Mufassir

Sesungguhnya, penentuan makna al-ghad sebagai Hari Kiamat dalam kalangan para mufassir tidak bersumberkan nas al-Quran atau penafsiran Nabi SAW secara khusus.

Sebaliknya, penentuan tersebut merupakan hasil ijtihad berdasarkan konteks ayat yang mengandungi pengertian masa hadapan. Oleh yang demikian, pentafsiran lafaz al-ghad sebagai masa hadapan merupakan suatu pentafsiran yang sahih dan bukannya suatu kesalahan bagi mereka yang mempunyai pengetahuan tentang bahasa Arab dan ilmu tafsir.

3.⁠ ⁠Penjelasan Ibn ‘Āshūr dalam Kitab al-Taḥrīr wa al-Tanwīr Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Ibn ‘Āshūr dalam karya tafsir beliau, al-Taḥrīr wa alTanwīr, jilid 11, juzuk 28, halaman 111, terbitan Dār Saḥnūn li al-Nashr wa al-Tawzī‘, Tunisia.

Berikut merupakan teks beliau dengan ayat yang bermaksud: “Lafaz ghad digunakan untuk merujuk kepada masa hadapan secara majazi, dengan tujuan menggambarkan masa hadapan yang jauh seolaholah dekat. Hal ini kerana konsep kedekatan masa sememangnya berkait rapat dengan pengertian lafaz ghad. Ini kerana ghad ialah hari yang menyusuli hari ketika seseorang sedang berbicara. Oleh itu, ia merupakan tempoh masa hadapan yang paling hampir.”

Kemudian Ibn ‘Āshūr mengemukakan syair Qarrād bin Ajda yang bermaksud: “Sekiranya permulaan hari ini telah berlalu, sesungguhnya hari esok itu amat dekat bagi sesiapa yang menantikannya.”

Seterusnya, Ibn ‘Āshūr menjelaskan yang bermaksud: “Penggunaan secara majazi ini merupakan suatu bentuk ungkapan yang lazim dalam pertuturan masyarakat Arab, khususnya pada lafaz ghad dan lafaz-lafaz lain yang seumpamanya.”

Kemudian beliau mengemukakan syair Zuhayr bermaksud: “Aku mengetahui perkara yang berlaku pada hari ini dan hari semalam yang mendahuluinya, namun aku tidak mengetahui apa yang bakal berlaku pada hari esok.”

Ibn ‘Āshūr selanjutnya menjelaskan yang bermaksud: Terjemahan: “Yang dimaksudkan dengan lafaz al-yawm  ialah masa kini, manakala al-ams merujuk kepada masa lampau, dan al-ghad ( دﻐﻟا ) pula merujuk kepada masa hadapan.”

Penjelasan mengenai sebutan lafaz jalalah dalam ucapan rasmi dan sikap berlebih-lebihan dalam menilai kesalahan bacaan

Berhubung dengan bacaan lafaz jalalah  tanpa menyebut baris fathah, perkara tersebut berlaku disebabkan oleh cara penyampaian teks ucapan.

Hal ini kerana beliau bermaksud menjadikan ayat al-Quran sebagai dalil atau sandaran dalam ucapannya, bukannya bertujuan melakukan tilawah al-Quran.

Dalam konteks ini, terdapat ruang toleransi (tasāmuḥ), kerana penggunaan ayat-ayat al-Quran sebagai petikan dalam ucapan rasmi tidak semestinya bermaksud seseorang itu sedang membacanya dengan menerapkan kaedah-kaedah ilmu tajwid.

Sebaliknya, tujuan utama petikan tersebut adalah untuk menyampaikan maksud yang dikehendaki. Adapun ketiadaan sebutan baris fathah itu berlaku disebabkan oleh kepantasan ketika menyampaikan ucapan.

Keadaan sedemikian sering berlaku kepada ramai orang, termasuk dalam kalangan para ulama.

Sesungguhnya, tindakan mencari-cari dan mengintai kesalahan dalam perkara seumpama ini merupakan suatu perbuatan yang tercela.

Sekiranya sikap tersebut benar-benar wujud, maka ia menunjukkan adanya penyakit hati.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Binasalah golongan yang bersikap melampau dan berlebih-lebihan.” Iaitu mereka yang terlalu mendalam dalam penelitian dan penyelidikan secara berlebihlebihan sehingga melampaui batas kewajaran. (Riwayat Muslim)

PERINGATAN IMAM AL-GHAZĀLĪ DALAM KITAB IḤYĀ’ ‘ULŪM AL-DĪN

Imam al-Ghazālī turut memberikan peringatan dalam kitab Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn yang bermaksud: “Dan terdapat satu golongan lain yang dikuasai oleh perasaan waswas dalam memastikan huruf-huruf Surah al-Fatihah dan segala zikir yang lain disebut dengan tepat menurut makhrajnya. Mereka sentiasa memberikan perhatian yang berlebih-lebihan terhadap penyempurnaan sebutan huruf-huruf yang bertasydid, pembezaan antara huruf ḍād (ض) dengan ẓā’ (ظ), serta pembetulan makhraj huruf sepanjang pelaksanaan solat mereka.

“Tiada perkara lain yang menjadi perhatian mereka selain daripada hal tersebut, dan mereka tidak memikirkan perkara-perkara yang lain. Akibatnya, mereka lalai daripada memahami makna al-Quran, mengambil pengajaran daripadanya serta menumpukan kefahaman kepada rahsia-rahsia dan hikmah yang terkandung di dalamnya.

“Sesungguhnya, keadaan sedemikian merupakan antara bentuk keterpedayaan diri (al-ghurūr) yang paling buruk.” — Imam al-Ghazālī, Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn.

PENGAPLIKASIAN MAKNA UMUM SURAH AL-ḤASHR AYAT 18 DALAM PEMBANGUNAN DUNIA DAN PERSEDIAAN AKHIRAT

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui secara mendalam segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ḥashr, 59:18)

1.⁠ ⁠Hujah Pihak yang Membantah

Pihak yang membantah menyatakan bahawa ayat tersebut diturunkan dalam konteks muhasabah diri terhadap amalan yang dilakukan oleh seseorang untuk dirinya sendiri, bukannya berkaitan dengan persoalan apakah yang telah dilakukan oleh manusia untuk generasi akan datang.

2.⁠ ⁠Keharusan Memperluas Pengaplikasian Makna Ayat

Walau bagaimanapun, tidak menjadi suatu kesalahan untuk menggeneralisasikan pengertian ayat tersebut sehingga merangkumi tuntutan membuat persediaan dan melaksanakan usaha ke arah pembangunan serta pemakmuran kehidupan dunia, sebagaimana ayat tersebut turut mengandungi tuntutan membuat persediaan untuk kehidupan akhirat.

Hal demikian kerana agama Islam bukan sahaja menggalakkan umatnya untuk membangunkan dan memakmurkan kehidupan dunia, bahkan turut menuntut mereka melakukan persediaan bagi menghadapi kehidupan akhirat.

Terdapat banyak nas al-Quran yang membuktikan prinsip tersebut, antaranya melalui konsep istikhlāf fī al-arḍ ( bumi), iaitu tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi

‘3.⁠ ⁠ Pendekatan Berdasarkan Keumuman Lafaz dalam Ilmu Tafsir

Sebagaimana yang diketahui dalam kalangan para ulama, pendekatan sedemikian termasuk dalam prinsip berpegang kepada keumuman lafaz, bukan kepada kekhususan sebab, sebagaimana kaedah yang bermaksud: “Pengajaran dan penetapan hukum diambil berdasarkan keumuman lafaz, bukan berdasarkan kekhususan sebab.”

Pendekatan ini merupakan suatu kaedah yang diterima dan diamalkan dalam tradisi keilmuan Islam. Oleh yang demikian, mengapakah kita perlu menyempitkan sesuatu yang pada asalnya mempunyai ruang pengertian yang luas?

Tambahan pula, para mufassir telah mengemukakan banyak contoh dan sandaran yang menunjukkan penggunaan pendekatan memperumumkan pengertian lafaz dalam keadaan yang seumpama ini.

Wallāhu a‘lam — Allah jualah Yang Maha Mengetahui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini