Jika saya ‘sakau’ duit kerajaan, mustahil boleh terlepas - Muzzamer Rahman - Utusan Malaysia

Jika saya ‘sakau’ duit kerajaan, mustahil boleh terlepas – Muzzamer Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit, Le Mediator Studio, Muzzamer Rahman menegaskan pihaknya tidak pernah menyeleweng dana yang diberikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) seperti didakwa sebuah akaun di Threads.

Muzzamer bersyukur apabila penafikan itu juga turut disokong Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dalam satu kenyataan yang dikongsikan Utusan Malaysia, semalam.

“Saya sangat bersyukur dengan kenyataan dikeluarkan Datuk Azmir kerana saya memang menunggu kenyataan rasmi badan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau saya menulis sendiri, pembenci akan kata, bolehlah tulis sendiri. Tapi apabila media keluarkan laporan itu, saya kongsikan supaya orang ramai yang mengenali saya tahu bahawa mustahil saya ‘sakau’ duit kerajaan.

“Jika saya ‘sakau’ mustahil untuk saya terlepas begitu sahaja,” katanya.

Muzzammer ditemui semasa majlis pelancaran poster dan trailer filem baru arahannya, Kacau di TGV KLCC, di sini, semalam.

Berhubung dakwaan mengamalkan kronisme, Muzzamer berkata pihaknya melalui proses pemohonan dana sama seperti orang lain termasuklah kerja dokumentasi, menyediakan peguam serta mengeluarkan wang sendiri terlebih dahulu untuk menjayakan sesebuah filem.

“Kertas kerja untuk mendapatkan dana Finas bukan sekadar tebal, sebaliknya membabitkan peguam dan berfasa.

“Bukan kalau kita minta dana terus dapat sejuta ringgit sekali gus, sebaliknya disalurkan secara berperingkat dan kita perlu mengeluarkan wang terlebih dahulu.

“Duit dana ialah duit rakyat, jadi kita perlu menjaga pelaburan itu dan tidak mahu menghasilkan filem separuh masak.

“Sebab itu, filem Kacau adalah pertaruhan seni terbesar sepanjang saya berkarya. Kalau Kacau bukan filem yang baik, saya sendiri akan berasa malu,” katanya.

Maklum akan reputasinya cuba dicalarkan oleh sebuah akaun di Threads sejak dua minggu lalu, Muzzamer mengakui dia sendiri tidak mengetahui punca mengapa akaun berkenaan melemparkan tuduhan kepadanya kerana tidak pernah berinteraksi dengan individu tersebut.

“Saya rasa aneh dan pelik kerana tuduhan yang dilemparkan tidak berasas. Saya banyak menghabiskan masa bukan untuk mempertahankan diri, sebaliknya menjelaskan kepada orang lain mengapa saya dikacau.

“Saya tidak pernah berjumpa dengannya, bekerja bersama, berhubung atau berinteraksi secara langsung.

“Kebenciannya seolah-olah saya pernah bercinta dengannya, berkahwin, kemudian meninggalkannya selama 10 tahun. Malah, seolah-olah saya kaya dan dia mahukan wang saya, tetapi saya tidak melayannya,” katanya.

Muzzamer turut mendakwa individu tersebut turut membuat akaun baharu di Facebook untuk mencemarkan namanya.

“Setiap pagi, kemarahannya seolah-olah mendorong dia menghabiskan dua hingga tiga jam membuka akaun baharu. Bukan setakat Threads, dia turut membuat laman Facebook dengan nama anti-kroni.

“Perenggan pertama ditulis mengenai industri, manakala perenggan kedua mengenai saya. Saya tidak tercalon sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) pun dia serang saya, sedangkan saya tidak mengarahkan filem pada tahun itu.

“Hubungan ‘love hate relationship’ ini memang pelik. Sakit hati juga, tapi saya tak nak hukum dia kerana ada orang yang setiap hari fikir tentang saya, kalau dia bahagia dengan apa yang dia buat, berbahagialah,” katanya.

Bagaimanapun, Muzzamer berkata, walaupun akaun tersebut tidak menggunakan wajah dan nama sebenar, namun dia mengetahui siapakah individu di sebalik pemegang akaun berkenaan.

“Kita boleh kesan siapa dia. Orang baik ada kawannya. Orang jahat juga ada kawannya yang telah memaklumkan kepada kita.

“Apabila dapat tahu individu berkenaan, saya lebih bersimpati kepadanya kerana hidupnya memang tiada bakat. Beberapa karya dihasilkan tidak berjaya dan dia cuba letakkan kesalahan kepada orang lain.

“Dia cuba tuduh saya seorang yang gagal, bayangkan betapa kasihannya dia. Kalau dia gembira dengan kegagalan saya sekalipun, saya tetap akan teruskan hidup,” katanya.

Bagaimanapun, Muzzamer berkata dia tidak mahu menghukum individu tersebut sebaliknya berharap agar pihak berkenaan dapat bermuhasabah dengan tindakan yang dilakukan di masa hadapan.

“Semoga dia berbahagia dengan apa yang dia lakukan. Saya percaya 20 atau 30 tahun akan datang, apabila anak cucu melihat kembali perkara yang dilakukan, dia mungkin baru terfikir bahawa tindakan itu tidak bijak.

“Perkara ini tidak meninggalkan kesan besar kepada saya, tetapi saya percaya ia lebih meninggalkan kesan kepada pelakunya sendiri,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini