Bergadai nyawa panjat pokok petai 100 kaki

Bergadai nyawa panjat pokok petai 100 kaki

BAR Ahi a/l Bah Tinas memanjat petai di sekitar kawasan Batu 8, Kuala Woh di Tapah. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Demi mencari rezeki menyara keluarga, seorang lelaki Orang Asli sanggup mempertaruhkan nyawa memanjat pokok petai setinggi lebih 100 kaki di sekitar Kampung Orang Asli Batu 8, Kuala Woh, di sini.

Bar Ahi a/l Bah Tinas, 57, berkata, meskipun sudah berpengalaman memanjat pokok petai sejak kecil, dia tetap berhati-hati menjalankan kerja itu kerana menyedari risiko terjatuh boleh mengakibatkan kecede­raan parah atau lumpuh.

Katanya, pekerjaan itu menjadi sumber pendapatan utama bagi menyara isteri dan anak-anak memandangkan peluang pekerjaan yang terhad bagi penduduk Orang Asli yang tinggal berhampiran kawasan hutan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah menjadi sumber rezeki saya memanjat dan memetik petai di atas pokok. Walaupun terpaksa bergadai nyawa, saya perlu melakukannya kerana itulah pekerjaan yang ada untuk menyara keluarga,” katanya.

Beliau berkata, kemahiran memanjat pokok petai dipelajari daripada bapanya sejak kecil sebelum meneruskan pekerjaan itu sebagai pendapatan menampung keperluan keluarga.

Katanya, pengalaman ber­depan pelbagai kesukaran ketika memanjat pokok tidak pernah membuatkannya berhenti, malah dia pernah terjatuh beberapa kali akibat batang pokok yang basah dan licin selepas hujan.

“Mencari petai di dalam hutan bukan kerja mudah, namun kerana ada permintaan, saya sanggup menggadai nyawa memanjat pokok petai demi mencari sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Menurutnya, permintaan terhadap petai membuka peluang untuknya mengambil upah memanjat dan memetik buah ber­kenaan sebelum hasilnya dijual kepada pemborong yang me­nunggu di luar kawasan hutan.

Bagaimanapun, katanya, musim petai tidak menentu kerana ada kalanya pokok mengeluarkan buah yang ba­nyak, manakala pada waktu lain hasilnya sedikit sehingga tidak berbaloi untuk dipanjat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini