Sektor pembinaan dijangka berkembang 5.7 peratus pada 2027

Sektor pembinaan dijangka berkembang 5.7 peratus pada 2027

SEKTOR pembinaan dijangka berkembang 5.7 peratus pada 2027.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan Malaysia dijangka berkembang 5.7 peratus pada 2027, disokong pelaksanaan projek infrastruktur utama termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sistem Transit Rapid Autonomi Bertingkat (E-ART) di Johor serta beberapa projek penyuraian trafik utama.

Menurut CIMB Securities, pertumbuhan itu dijangka dipacu kesinambungan pelaksanaan projek berskala besar dan peningkatan perbelanjaan pembangunan kerajaan, meskipun Belanjawan 2027 dijangka tidak menyaksikan banyak pengumuman projek mega baharu.

“Perbelanjaan pembangunan kasar di bawah Belanjawan 2027 diunjurkan meningkat sederhana sebanyak 2.5 peratus kepada RM83 bilion berbanding anggaran RM81 bilion pada 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peningkatan itu mencerminkan pendekatan perbelanjaan yang lebih terkawal, dengan tumpuan kepada projek infrastruktur berskala kecil dan sederhana serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, khususnya di Malaysia Timur dan kawasan luar bandar.

“Antara bidang yang diberi keutamaan ialah bekalan air, infrastruktur digital, mitigasi banjir, kemudahan luar bandar, pelaburan grid tenaga dan kesalinghubungan pengangkutan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam pada itu, sebanyak RM18 bilion diperuntukkan bagi projek pengangkutan awam termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang (PML), Lebuhraya Pan Borneo di Sabah serta pembinaan stesen kereta api di Arena Larkin.

“Kerja pembinaan E-ART di Johor juga dijangka bermula pada 2027, manakala kontrak bagi seksyen Miri dalam projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dijangka dianugerahkan menjelang akhir 2026,” katanya.

Dalam pada itu, projek Fasa Dua ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang, Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur dan projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua (JSDTD) turut menjadi antara pemangkin aktiviti pembinaan pada tahun depan.

“Bagi JSDTD, kemajuan fizikal Pakej 1 mencapai 41 peratus setakat September 2026, manakala pemilik projek, PLUS Malaysia Bhd., sudah membuka tender bagi Pakej 2 dan Pakej 5.

“Pelaksanaan projek berkenaan dijangka menyokong permintaan terhadap perkhidmatan kontraktor, bahan binaan dan aktiviti berkaitan pembinaan, walaupun peluang daripada projek baharu berskala besar dijangka lebih terhad,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Gamuda Bhd. menjadi antara pilihan utama bagi pelabur yang ingin mendapatkan pendedahan kepada peluang kontrak infrastruktur baharu, khususnya menerusi potensi projek bekalan air dan tenaga boleh baharu.

“Syarikat itu berpotensi memperoleh kontrak bernilai RM4 bilion hingga RM5 bilion menerusi Skim Bekalan Air Perak Utara serta projek tenaga boleh baharu berskala besar,” katanya.

Sementara itu, IJM Corporation Bhd. pula menjadi pilihan berdasarkan inisiatif penstrukturan semula yang sedang dilaksanakan syarikat berkenaan.

Sementara itu, penganugerahan pakej CMC2 bagi projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dijangka membuka potensi nilai pembangunan Penang Sentral yang sedang dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB).

Bagi sektor bahan binaan, Malayan Cement Bhd. dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan simen apabila aktiviti pembinaan dan pelaksanaan projek infrastruktur semakin rancak pada 2027.

“Bagaimanapun, prospek syarikat pembinaan akan turut bergantung kepada kejayaan memperoleh kontrak baharu, kemajuan pelaksanaan projek sedia ada dan keupayaan menguruskan kos input,” katanya.

Dari segi kos, pengenalan semula klausa variasi harga bagi diesel dan bitumen dijangka membantu mengurangkan tekanan kenaikan kos bahan api dan bahan binaan terhadap kontraktor.

“Bagaimanapun, mekanisme pelaksanaan klausa berkenaan masih belum diperincikan dan keberkesanannya bergantung kepada kaedah penyesuaian harga serta syarat kontrak yang ditetapkan,” katanya.

Pada peringkat fiskal, firma berkata, defisit Kerajaan Persekutuan dijangka menyusut kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 berbanding anggaran 3.6 peratus pada 2026.

“Pengurangan itu dijangka disokong reformasi hasil dan peluasan asas percukaian, selaras dengan matlamat penyatuan fiskal kerajaan dalam jangka sederhana.

“Secara keseluruhan, prospek sektor pembinaan pada 2027 dijangka kekal disokong pelaksanaan projek infrastruktur utama dan perbelanjaan pembangunan kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini