MANCHESTER: Michael Carrick mahu Manchester United lebih bijak mengawal permainan dan memiliki mentaliti lebih kental selepas mensia-siakan kelebihan pada penghujung perlawanan ketika seri 1-1 menentang Tottenham yang beraksi dengan 10 pemain di Old Trafford, semalam.
Anak buah Carrick dicemuh penyokong sendiri ketika menuju ke bilik persalinan pada separuh masa pertama dan sebaik tamat perlawanan, selepas Tottenham yang memulakan aksi dari kedudukan tercorot liga mendominasi permainan untuk tempoh yang panjang.
Ketika ini, United hanya mengutip enam mata daripada enam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kutipan terendah mereka pada peringkat itu dalam tempoh 30 tahun.
“Saya pastinya tidak gembira dengan jumlah mata yang kami kumpul setakat ini. Saya tidak boleh menafikan hakikat itu. Saya fikir keputusan mungkin berbeza jika bukan kerana beberapa perkara kecil yang berlaku, tetapi realitinya tetap begitu dan kami perlu menerimanya.
“Kami mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Kami hanya perlu lebih bijak mengendalikan situasi tertentu, lebih kental, lebih teguh dan memastikan kelebihan yang dimiliki dapat dipertahankan,” kata Carrick selepas perlawanan
Dalam aksi berkenaan, Bryan Mbeumo meletakkan United di depan ketika perlawanan berbaki 17 minit, namun mereka sekali lagi gagal memanfaatkannya apabila Dominic Solanke menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.
“Gol yang dibolosi mungkin berbeza, tetapi sama ada lawan beraksi dengan 10 pemain atau tidak, apabila kami mendahului perlawanan, kami perlu memastikan kemenangan dapat dipertahankan.
“Kami perlu tahu bila hendak menguasai bola, mengawal permainan dengan lebih baik, menjaga penguasaan bola di kawasan lawan dan sekitar kotak penalti mereka, selain terus menekan mereka di kawasan sendiri,” tambah Carrick.
Tottenham masih belum mencatat kemenangan liga musim ini, namun pengendalinya, Roberto De Zerbi, berpuas hati dengan reaksi yang ditunjukkan pemainnya.
“Ketika beraksi dengan 10 pemain, kami mungkin bermain dengan lebih berani, lebih bertenaga dan sekali lagi mengubah rentak permainan.
“Untuk tempoh yang lama, Tottenham beraksi tanpa semangat juang dan karakter seperti ini. Kini saya menjadi jurulatih mereka dan saya mahu melihat karakter itu dalam setiap perlawanan,” kata De Zerbi.- AGENSI











