NEW DELHI: Pasukan keselamatan India menahan lebih 2,000 penunjuk perasaan termasuk pengasas gerakan pemuda Cockroach di New Delhi pada Sabtu selepas pihak berkuasa bertindak mengetatkan kawalan keselamatan di sebahagian besar ibu kota bagi menggagalkan perhimpunan yang menuntut pengunduran ketua suruhanjaya pilihan raya negara itu.
Ribuan anggota polis dan separa tentera dikerahkan ke seluruh bandar, perkhidmatan internet mudah alih digantung di kawasan pusat perniagaan manakala banyak stesen tren bawah tanah dan pasar ditutup apabila pihak pihak berkuasa bertindak agresif menyekat demonstrasi yang dianjurkan oleh gerakan tersebut.
Perhimpunan berkenaan diadakan bagi membantah tindakan Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Gyanesh Kumar berhubung proses semakan senarai pengundi yang didakwa oleh pelbagai pihak menguntungkan parti pemerintahan Perdana Menteri, Narendra Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP) sebagai tidak wajar dilakukan.
Gerakan tersebut merancang untuk menghimpunkan ribuan penyokong di Jantar Mantar, tengah Delhi tetapi kawasan berkenaan dikawal ketat dan ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan sebelum demonstrasi bermula.
Seorang pegawai kementerian dalam negeri yang enggan namanya didedahkan memberitahu agensi berita Reuters bahawa lebih 2,000 orang ditahan di Delhi, manakala laporan media tempatan menyebut kira-kira 400 penunjuk perasaan turut ditahan di hab kewangan India, Mumbai.
Pihak polis bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung siri tangkapan tersebut.
Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melahirkan rasa bimbang berhubung tindakan tangkapan besar-besaran yang dilakukan sebelum dan semasa demonstrasi itu berlangsung.
“Kami menyeru pihak berkuasa agar memastikan hak untuk berhimpun secara aman dihormati dan dipenuhi sepenuhnya,” kata jurucakap hak asasi manusia PBB, Thameen Al-Kheetan dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa agar melibatkan diri dalam dialog bermakna bagi menangani pelbagai keprihatinan yang disuarakan oleh rakyat.
Bagaimanapun, misi tetap India ke PBB di Geneva menyifatkan kebimbangan PBB sebagai tidak wajar dan menegaskan ia merupakan campur tangan yang tidak sepatutnya dalam hal ehwal dalam negeri India.
Kenyataan itu menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman dijamin di bawah Perlembagaan India. – AGENSI











