KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir memaklumkan keadaan kesihatan ibunya sedikit merosot dan memerlukan perhatian penuh.
Enggan mendedahkan penyakit dihadapi ibunya, pelantun lagu Minta Ampun itu berkata dia belum bersedia berkongsi secara terperinci mengenai perkara tersebut.
“Ibu perlukan saya untuk menjaga dia. Saya belum bersedia kongsikan penyakitnya kerana tak mahu ibu rasa tidak selesa apabila dihubungi ramai orang yang bertanyakan tentang itu. Buat masa ini biar keluarga saja yang tahu.
“Apa yang boleh saya katakan perkara itu agak mengejut tapi dalam masa yang sama saya sangat bersyukur kerana mak sangat positif,” katanya Utusan Malaysia.
Shiha memaklumkan perkara tersebut selepas sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2026 di Hyatt Regency Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Shiha berkata hatinya sangat luluh ketika mengetahui keputusan kesihatan ibunya.
Bagaimanapun, ibunya yang sangat positif dan bersemangat untuk melawan ujian tersebut.
“Luluh hati saya dan pastinya saya menangis sebab terkejut sangat.
“Satu perkara yang saya tak sangka berlaku. Apa yang saya boleh katakan
saya bersyukur dikurniakan ibu yang positif dan kuat.
“Alhamdulillah, sekarang ni dalam fasa untuk saya menjaga kesihatan dan mental ibu saya. Saya nak dia gembira sepanjang tempoh rawatan dijalankan.
“Saya harap ibu akan terus diberikan kekuatan serta diberikan kesihatan mental yang stabil,” katanya lagi.
Disoal mengenai cara dirinya membahagikan masa dengan kerjaya, penyanyi berusia 38 tahun ini meluahkan rasa syukur kerana mempunyai adik-beradik lain yang menjadi sumber sokongan buatnya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mempunyai adik-beradik yang boleh membahagikan masa untuk menjaga ibu.
“Ibu seorang yang sangat positif dan sentiasa memberi semangat kepada saya untuk meneruskan kerjaya dan sekarang ini pada saya hanya satu iaitu saya perlu kerja keras untuk mak.
“Saya akan kerja keras dan pastikan mak dalam keadaan yang selesa,” ujarnya.
Shiha menyorot perhatian di media sosial apabila berkongsi mengenai ibunya yang dirawat di hospital.- UTUSAN











