KUALA LUMPUR: Enggan membiarkan reputasinya terus dirosakkan, pelakon, Ruhainies akan mengambil tindakan terhadap pihak yang selama ini terus menerus menabur fitnah dan dakwaan tidak benar mengenai dirinya.
Menulis panjang lebar di laman Thread, pelakon berusia 34 tahun memaklumkan sudah tiba masanya dia mengambil pendekatan yang lebih serius dalam menangani perkara tersebut.
“Saya telah arkibkan perkongsian media sosial saya baru-baru ini dan mengumpul semua maklumat.
“Terima kasih kepada yang membantu memudahkan dan mempercepatkan urusan saya. Saya hargai bantuan anda.
“Isu dan tuduhan ini telah berlarutan agak lama. Saya tidak tahu siapa yang mulakan atau berpunca daripada apa. Selama ini saya berdiam diri kerana perkara ini sudah keterlaluan,” katanya.
Ruhainies memaklumkan dakwaan tidak benar mengenainya sudah secara keterlaluan disebarkan pihak berkaitan justeru dia tidak teragak-agak untuk menggunakan pendekatan undang-undang bagi menamatkannya.
“Ramai orang mula percaya dan menyebarkan cerita-cerita ini tanpa bukti, dilihat untuk memusnahkan reputasi saya.
“Tolong faham yang saya, pada kali ini mengambil serius perkara ini dan akan mengikuti perkembangannya sehingga ianya selesai.
“Saya sejujurnya berharap agar pihak berkenaan akan memberikan kerjasama dan bersikap profesional supaya kita dapat menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya untuk mengelakkan sebarang komplikasi,” ujarnya.
Untuk rekod, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas dan penyanyi serta pelakon Aliff Aziz dikenakan denda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat.- UTUSAN











