PETALING JAYA: Selangor FC tidak mahu terbuai dengan kelebihan tiga gol apabila melayan kunjungan Star City FC dalam aksi timbal balik suku akhir Piala FA 2026/27 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, malam ini.
Berbekalkan kemenangan 4-1 pada aksi pertama di Kangar, skuad Gergasi Merah hanya memerlukan keputusan positif untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, namun ketua jurulatih, Kim Pan-gon, mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah cabaran lawan.
Katanya, Piala FA kekal sebagai antara keutamaan pasukannya dan menuntut pemain mengekalkan fokus serta semangat berpasukan bagi mengelakkan sebarang kejutan.
“Bagi kami, Piala FA sangat penting. Walaupun mendahului dengan tiga gol, saya harap pemain tidak leka.
“Mereka perlu saling menyokong antara satu sama lain demi melangkah ke separuh akhir dengan memberikan aksi terbaik,” katanya dalam laman rasmi pasukan.
Keyakinan Selangor turut disuntik dengan kepulangan tujuh pemain daripada tugasan antarabangsa yang diharap mampu meningkatkan kualiti permainan pasukan menjelang aksi di laman sendiri.
Pada aksi pertama, Selangor mempamerkan ketajaman di depan gol menerusi hatrik Chrigor Moraes, manakala Vitor Pernambuco turut mencetak nama sebagai penjaring untuk memberikan kelebihan besar kepada wakil Liga Super itu.
Bagaimanapun, Pan Gon turut mengharapkan sokongan padu penyokong di laman sendiri bagi membantu Gergasi Merah menyempurnakan misi ke separuh akhir, sekali gus meneruskan pemburuan trofi musim ini.
Sementara itu, skuad kendalian Mehmet Durakovic dijangka mendapat suntikan tenaga dengan kehadiran tiga tonggak utama mereka, Pedro Henrique, Engku Shakir dan Endrick Dos Santos, yang boleh menambah cabaran buat tuan rumah dalam usaha mengesahkan tiket ke separuh akhir.
“Kami sedar ketinggalan dengan agregat 1-4 menyukarkan tugas untuk berdepan Selangor FC di gelanggang lawan.
“Namun, saya berharap kehadiran tiga tonggak ini sekurang-kurangnya dapat memperkukuh pasukan untuk memberikan saingan dalam aksi penting suku akhir kedua,” kata Durakovic. – UTUSAN











