Azizulhasni wakil tunggal individu Kejohanan Dunia

Azizulhasni wakil tunggal individu Kejohanan Dunia

Azizulhasni Awang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjadi sandaran utama Malaysia dalam acara individu pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Shanghai, China, dari 14 hingga 18 Oktober ini selepas muncul satu-satunya pelumba negara yang layak beraksi dalam acara pecut individu dan keirin.

Kelayakan itu hadir selepas pelumba berusia 38 tahun berkenaan memenangi kedua-dua acara pada saingan Piala Dunia Trek Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun ini, sekali gus meletakkannya sebagai taruhan utama negara untuk menghadapi persaingan bertaraf dunia.

Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley berkata, tumpuan Azizulhasni perlu diberikan kepada persediaan dan prestasi sendiri menjelang kejohanan berkenaan, terutama apabila perhatian turut terarah kepada misinya memburu penampilan keenam di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lebih daripada segala-galanya, saya mahu melihat setiap atlet memberikan persembahan terbaik mereka. Tugas saya adalah membantu mereka tiba di Kejohanan Dunia dengan keyakinan, persediaan rapi dan fokus terhadap perkara yang boleh dikawal,” kata Beasley kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kem latihan di Shanghai berjalan dalam suasana positif selepas kontinjen negara diberikan peluang berehat seketika bersama keluarga di Tokyo susulan Sukan Asia, sebelum kembali memberi tumpuan kepada persiapan akhir menghadapi kejohanan utama itu.

“Jauh daripada gangguan di Malaysia, kami dapat menumpukan perhatian kepada latihan dan meluangkan masa bersama. Suasananya santai tetapi tetap fokus,” katanya.

Azizulhasni, yang membuat penampilan sulung Olimpik di Beijing pada 2008, kini berpeluang menjadi atlet Malaysia pertama beraksi dalam enam edisi temasya itu sekiranya berjaya melayakkan diri ke LA28, dengan Kejohanan Dunia di Shanghai turut menandakan permulaan kempen kutipan mata kelayakan Olimpik.

Konsistensi pelumba kelahiran Dungun itu juga menjadi sandaran apabila dia dilaporkan menaiki podium dalam setiap pertandingan yang disertainya sejak kembali daripada persaraan pada Ogos tahun lalu, sekali gus menunjukkan keupayaannya terus bersaing selepas kembali ke gelanggang.

Selain Azizulhasni, Malaysia turut mempertaruhkan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid dalam acara pecut individu serta keirin wanita, selain menyertai acara pecut berpasukan lelaki dan wanita pada kejohanan berkenaan.

Dalam acara pecut berpasukan lelaki, Muhammad Shah Firdaus Sahrom masih berpeluang beraksi bersama adiknya, Ridwan, serta Mohd Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Fadhil Zonis, meskipun tidak memperoleh slot bagi acara individu, sekali gus memberikan Malaysia satu lagi peluang untuk menguji kemampuan di pentas dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini