Keupayaan hospital swasta bantu pesakit Covid-19 terhad - Utusan Malaysia

Keupayaan hospital swasta bantu pesakit Covid-19 terhad

KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor kesihatan swasta memiliki keupayaan terhad dari segi mobilisasi anggota kesihatan khususnya jururawat dan tenaga pakar jika bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam membantu menangani pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, pihaknya kini hanya boleh memberikan peratusan tenaga kerja yang kecil kerana jumlah jururawat dan pakar swasta di sektor itu adalah tidak ramai.

Jika kerajaan memerlukan sebilangan besar kakitangan swasta ditempatkan bekerja di hospital kerajaan, dibimbangi akan menjejaskan sistem penyampaian kesihatan hospital swasta yang sudah menerima pesakit sedia ada.

“Buat masa ini, kerajaan memerlukan 100 lebih jururawat untuk membantu di hospital kerajaan, tetapi, mungkin pihak kami hanya memberikan secara berjadual sekurang-kurangnya 20 jururawat sehari untuk bekerja dengan kerajaan.

“Bagi pakar pula, bergantung kepada jurusan yang diperlukan kerajaan kerana ada pelbagai jenis pakar di hospital swasta dengan jumlah terhad.

“Hospital swasta juga tidak boleh beri ramai kakitangan kerana sektor kesihatan swasta tidak mempunyai ramai pegawai perubatan, pegawai perubatan siswazah manakala pakar pula mempunyai pesakit sendiri untuk dirawat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kerajaan sebelum ini merangka sembilan strategi bagi menghadapi situasi kritikal di Lembah Klang yang menyaksikan bilangan pesakit Covid-19 meningkat lebih 6,000 kes setiap hari.

Selain kerjasama dengan swasta, kerajaan turut menambah mobilisasi tenaga kerja dari hospital-hospital universiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi untuk pengoperasian penuh Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM berkapasiti sebanyak 200 katil.

Dalam pada itu, kata Kuljit, kerjasama kerajaan dengan swasta dalam pengurusan pesakit Covid-19 dijalankan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan tidak akan menerima bayaran atas khidmat yang diberikan.

“Jururawat yang akan dipindahkan buat sementara nanti akan dibayar swasta mengikut jangka masa kerja biasa dan tidak menerima lebihan bayaran jika bekerja lebih masa. Hanya tempat bekerja yang berlainan.

“Saya juga difahamkan kebanyakan pakar swasta rela untuk membantu rakan-rakan mereka yang bekerja dengan kerajaan. Jadi, inilah masa yang sangat sesuai untuk bersama-sama membantu rakyat dalam membendung wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×