JAKARTA: Persaingan merebut kejuaraan dunia MotoGP 2026 bukan hanya tertumpu kepada pertarungan Marc Marquez, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi, malah turut menjadi medan pertembungan dua gergasi Itali, Ducati dan Aprilia.
Menjelang perlumbaan di Indonesia, kedua-dua pengeluar itu terikat dalam perebutan kejuaraan pengeluar, sekali gus menjadikan saingan di Litar Antarabangsa Mandalika lebih menarik apabila pertarungan turut membabitkan maruah pasukan.
Ketua bahagian perlumbaan Ducati, Gigi Dall’Igna, mengakui musim ini antara yang paling sukar dihadapinya, namun percaya pengalaman Marquez dalam perebutan gelaran menjadi kekuatan utama pasukannya.
“Ketika di Mugello, pesaing kami mendahului dengan jurang mata yang begitu besar sehingga sukar untuk mempercayainya.
“Kami perlu mendorong semua orang supaya terus percaya, dan Marc paling hebat dalam hal itu.Marc percaya dia mampu meraih gelaran dan akhirnya kami berada di sini,” katanya.
Dall’Igna turut mengakui Martin, yang dikenali sebagai Martinator, mempunyai kelebihan tersendiri kerana jarang melakukan kesilapan besar pada penghujung musim, namun pengalaman Marquez dalam tekanan perebutan kejuaraan tidak boleh dipandang ringan.
Lebih menarik, Dall’Igna kini perlu berdepan Aprilia, pasukan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya, selain pernah bekerja dengan pelumba yang kini menggalas cabaran pengeluar itu.
“Aprilia sebahagian daripada masa lalu saya, baik dari segi jenama mahupun pelumbanya. Kedua-dua mereka pernah menjadi pelumba saya sebelum ini.
“Jika ada pasukan yang perlu menewaskan kami, lebih baik pasukan itu terdiri daripada rakan-rakan saya,” katanya. – AGENSI











