'Mulut Neraka' kembali aktif - Utusan Malaysia

‘Mulut Neraka’ kembali aktif

GUNUNG berapi Masaya yang dikenali sebagai “Mulut Neraka’ dibimbangi kembali aktif . - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANAGUA: Gunung berapi terkenal yang digelar ‘Mulut Neraka’ di Nicaragua kini dikhuatiri sedang aktif semula, menurut amaran yang dikeluarkan oleh kumpulan saintis.

Pasukan penyelidik mene­mukan bukti kewujudan dua kebuk magma yang kini semakin terisi di bawah gunung berapi aktif Masaya yang terletak hanya 20 kilometer dari ibu negara, Managua, yang dihuni oleh kira-kira dua juta penduduk.

Pada masa sama, ribuan pelancong membanjiri lokasi berkenaan setiap tahun bagi melihat kawah Santiago  sarat dengan lahar panas, ciri utama yang memberikan gunung berapi tersergam itu nama julukan menggerunkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkembangan tersebut men­­jadikan ancaman letusan sebagai kebimbangan berterusan, manakala kajian terbaharu menemukan petanda aktiviti yang mencurigakan tersembunyi di bawah permukaan tanah.

Meskipun kajian berkenaan tidak mengenalpasti sebarang bahaya secara serta-merta, penemuan itu menunjukkan bahawa saluran ‘paip’ dalaman ‘Mulut Neraka’ adalah jauh lebih kompleks daripada yang dianggarkan sebelum ini.

Usaha memahami sistem tiub dan takungan magma berkenaan merupakan kunci utama bagi mengesan sebarang perubahan yang boleh menjadi petunjuk kepada letusan bakal berlaku.

Ketua pengarang kajian dari Penn State University, Lizzie Johnson berkata, pemahaman yang mendalam mengenai aktiviti gunung berapi Masaya dan bahaya bersangkut-paut dengannya adalah amat kritikal.

‘Mulut Neraka’ merupakan gunung berapi yang sangat kompleks, terdiri daripada kawah berlapis dan lubang benam yang terbentuk akibat kebuk magma yang telah kosong.

Disebabkan oleh kompleksiti berkenaan, rangkaian terowong dan kebuk di bawah permukaannya masih kurang difahami oleh komuniti sains.

Keadaan itu menyukarkan usaha untuk ‘membaca’ isyarat halus yang mungkin memberi petunjuk berhubung letusan yang bakal berlaku sekali gus membawa ancaman keselamatan serius kepada lokasi tarikan pelancong berhampiran bandar utama tersebut.

“Meskipun Masaya kali ter­akhir menghasilkan aliran lahar secara besar-besaran pada tahun 1772, proses pelepasan gas secara berterusan kerap menghasilkan kepekatan gas sulfur dioksida pada paras berbahaya,” kata Johnson.

Gunung berapi tersebut turut mencatatkan beberapa siri letusan kecil dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini. Walaupun insiden berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan setakat ini, pihak penyelidik tidak mahu mengambil sebarang risiko. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini