Pengecualian duti hiburan: Penerbit, anak seni raih untung besar - Pakar - Utusan Malaysia

Pengecualian duti hiburan: Penerbit, anak seni raih untung besar – Pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengecualian penuh duti hiburan di Wilayah Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 dilihat memberikan kelebihan besar kepada pemain industri kreatif tempatan.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Yusniyati Yusri berkata, memandangkan duti hiburan biasanya dikenakan ke atas harga tiket, pelepasan cukai akan diserap terus sebagai margin keuntungan syarikat.

“Secara dasarnya, pihak yang menjual tiket seperti pawagam atau penganjur teater akan mendapat keuntungan tersebut sepenuhnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika pihak pawagam memilih untuk tidak menurunkan harga tiket, pengguna atau orang awam tidak akan merasakan kesan pengurangan harga secara langsung kerana mereka tetap membayar pada kadar biasa.

“Pihak pawagam mungkin melihat rakyat masih mampu membayar pada harga sedia ada, jadi tiada keperluan mendesak untuk mereka menurunkannya. Peluang ini sebaliknya akan digunakan untuk menampung kos operasi dan meningkatkan keuntungan syarikat.

“Namun, bagi industri kreatif, ia membolehkan mereka mendapat margin keuntungan yang lebih besar daripada hasil seni yang dipersembahkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Bagaimanapun, Yusniyati menegaskan bahawa keuntungan tambahan yang diraih oleh penerbit haruslah ditunjukkan semula dalam bentuk kualiti karya dan persembahan yang lebih baik pada masa hadapan.

Malah, inisiatif ini juga dilihat sebagai pemangkin kepada penyelesaian isu bayaran artis dan kru belakang tabir yang sering dianggap tidak setimpal dengan bebanan kerja.

“Margin keuntungan yang lebih tinggi membolehkan penerbit mengkaji semula kadar bayaran kepada anak seni, termasuk pelakon teater.

“Ia sekali gus membuka peluang pekerjaan yang lebih luas dan menarik lebih ramai bakat baharu untuk menceburkan diri dalam ekonomi kreatif,” tambahnya.

Dalam pada itu, Yusninati menyifatkan keputusan mengehadkan pengecualian tersebut di Wilayah Persekutuan buat masa ini adalah langkah strategik memandangkan kawasan tersebut merupakan pusat permintaan tertinggi bagi aktiviti seni dan hiburan.

“Oleh kerana cukai hiburan di negeri-negeri lain berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing, ia sukar dilaksanakan secara menyeluruh oleh kerajaan pusat.

“Namun, Wilayah Persekutuan boleh dijadikan model contoh untuk negeri lain mengikuti langkah serupa bagi menyokong ekosistem seni tempatan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan pengecualian penuh duti hiburan bagi persembahan pentas, teater dan tayangan filem di Wilayah Persekutuan bagi merancakkan lagi industri kreatif negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini