RM22 bilion kukuhkan kedaulatan negara

RM22 bilion kukuhkan kedaulatan negara

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan bagi kebajikan, pengukuhan aset keselamatan, peningkatan keupayaan kawalan sempadan serta penggunaan teknologi untuk membanteras jenayah menunjukkan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata, pelaburan dalam kemudahan kesihatan, bantuan pengangkutan awam, pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan membuktikan kemajuan negara perlu dirasai rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar jumlah peruntukan, tetapi sejauh mana ia membantu meringankan beban kehidupan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga Malaysia.

“Negara yang aman memberi keyakinan kepada rakyat untuk menjalani kehidupan dengan tenteram, selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan, pelaburan dan pelancongan.

“Prestasi pertumbuhan eko­nomi, perdagangan dan pelaburan yang dinyatakan dalam pembentangan belanjawan memberikan asas keyakinan terhadap kedudukan ekonomi Malaysia.

“Namun, kejayaan itu mesti diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, peluang perniagaan dan kos sara hidup yang lebih terkawal,” katanya semalam.

Saifuddin Nasution berkata, Belanjawan 2027 membawa mesej jelas bahawa rakyat mesti dibela, negara mesti aman dan ekonomi mesti terus diperkukuh.

“Ketiga-tiga tonggak ini saling melengkapi. Kebajikan tanpa kestabilan sukar dipertahankan, keamanan tanpa kemakmuran tidak mencukupi, manakala pertumbuhan ekonomi tanpa manfaat yang dirasai rakyat belum mencapai matlamat sebenar pembangunan.

“Cabaran menanti adalah memastikan setiap peruntukan dilaksanakan dengan cekap, telus dan berkesan supaya hasilnya benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KDN dan Kementerian Pertahanan masing-masing menerima peruntukan RM22 bilion dalam Belanjawan 2027.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini