Bantuan sahaja tidak cukup untuk rakyat

Bantuan sahaja tidak cukup untuk rakyat

BELANJAWAN 2027 perlu memastikan setiap peruntukan memberi manfaat nyata kepada rakyat, khususnya dalam mengurangkan beban kewangan, melindungi pekerjaan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN 2027 dengan peruntukan RM459.8 bilion antaranya memberi perhatian bukan sahaja kepada usaha meringankan kos sara hidup, malah memastikan rakyat mempunyai pekerjaan yang stabil dengan gaji bermaruah.

Keperluan ini semakin mendesak ketika pasaran pekerjaan berubah akibat kemajuan teknologi, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Perubahan tersebut membuka peluang dalam bidang baharu, namun pada masa sama berpotensi mengurangkan keperluan terhadap sesetengah pekerjaan. Tanpa persediaan dan langkah penyesuaian yang sewajarnya, lebih ramai pekerja mungkin kehilangan sumber pendapatan atau berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan yang setara dengan kelayakan serta pengalaman mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan 24,025 individu kehilangan pekerjaan pada suku pertama 2026.

Pada masa sama, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan 517,800 penganggur pada Jun 2026, sebelum jumlah itu meningkat kepada 520,300 orang pada Julai.

Kadar pengangguran kekal pada 3 peratus bagi kedua-dua bulan, manakala jumlah penduduk bekerja meningkat daripada 16.83 juta kepada 16.85 juta orang.

Untuk tahun depan, kerajaan menjangka kadar pengangguran kekal pada 3 peratus, sementara jumlah guna tenaga diunjur meningkat sebanyak 2 peratus kepada 17.2 juta orang dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan terus menyumbang lebih 80 peratus peluang pekerjaan.
Hal ini ekoran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan Pelan Hala Tuju peralihan Tenaga Negara (NETR) dijangka mempercepatkan pewujudan peluang pekerjaan.

Walaupun kadar pengangguran memberikan gambaran keadaan pasaran buruh secara keseluruhan, namun angka itu tidak menggambarkan sepenuhnya kesukaran yang ditanggung mereka yang kehilangan mata pencarian.

Ini kerana simpanan yang dikumpulkan selama bertahun-tahun mungkin terpaksa digunakan untuk membayar sewa, ansuran pinjaman, bil dan keperluan anak-anak.

Cabaran kehilangan pekerjaan turut terlihat menerusi penutupan operasi CJ Bio Malaysia Sdn. Bhd. di Taman Biopolimer Kerteh, Terengganu, bermula 15 Oktober lalu dan menjejaskan 372 pekerja.

Dalam hal itu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menggerakkan langkah intervensi bagi melindungi hak mereka serta membantu peralihan kepada pekerjaan baharu.

Namun, memperoleh pekerjaan semula tidak semestinya bermakna seseorang dapat memulihkan kedudukan kewangannya. Mereka mungkin terpaksa menerima gaji lebih rendah atau pekerjaan yang tidak setara dengan pengalaman terdahulu.

Keadaan ini menunjukkan ukuran kejayaan dasar pekerjaan bukan sekadar bilangan individu yang kembali bekerja tetapi juga kemampuan mereka memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk menampung kehidupan.

Kerajaan yakin aktiviti pelaburan akan terus berkembang disokong projek diluluskan yang sedang dilaksanakan.

Begitu juga prestasi perdagangan kekal berdaya tahan bagi memanfaatkan kemajuan teknologi berterusan. Dalam masa sama, sektor perkhidmatan terus disokong peningkatan ketersambungan perjalanan antarabangsa dan aktiviti pelancongan yang rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.

Sektor elektrik dan elektronik (E&E) dalam sektor pembuatan pula akan mendapat manfaat daripada permintaan global yang tinggi terhadap semikonduktor, AI dan teknologi digital.

Dengan kelebihan ini, diharapkan dapat membantu golongan terjejas mendapatkan sokongan kewangan, meningkatkan kemahiran dan kembali memasuki pasaran kerja.

.PENDAPATAN PERLU DIPERKUKUH

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM13 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sebelum jumlah itu meningkat kepada RM15 bilion dalam Belanjawan 2026.

Kali ini, peruntukan bantuan ini meningkat kepada RM16 bilion bagi meneruskan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

Sementara jumlah keseluruhan untuk subsidi, bantuan dan insentif lebih RM80 bilion.

Bantuan tersebut penting untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah mengurus perbelanjaan asas, khususnya makanan dan barangan keperluan harian.

Namun, bantuan tidak dapat menyelesaikan masalah pendapatan yang rendah secara berpanjangan. Kedudukan kewangan sesebuah keluarga akan terus rapuh sekiranya gaji tidak mencukupi, kos keperluan meningkat atau pencari nafkah kehilangan pekerjaan.

Sebab itu, usaha membantu rakyat tidak boleh terhenti pada pemberian bantuan.

Kerajaan perlu memastikan dasar ekonomi membuka peluang pekerjaan yang stabil, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan menggalakkan pembayaran gaji yang setimpal dengan tanggungjawab serta produktiviti pekerja.

Kerana itu, penting setiap ringgit disalurkan kepada program dan projek yang memberikan pulangan ekonomi dan sosial tertinggi, memperkukuhkan daya tahan fiskal jangka panjang negara serta menyokong pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM7.9 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), meningkat daripada RM7.5 bilion pada tahun sebelumnya. Peruntukan itu diagihkan kepada 12 kementerian yang menguruskan ekosistem TVET di 1,398 institusi seluruh negara.

Tahun depan, kerajaan memperuntukkan RM8 bilion bagi TVET rentas kementerian dengan tumpuan untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran dalam kalangan anak muda.

Pelaburan dalam pembangunan kemahiran ini penting tetapi keberhasilannya perlu dinilai berdasarkan peluang pekerjaan yang benar-benar diperoleh peserta serta pendapatan yang mampu mereka jana selepas tamat latihan.

Latihan yang sepadan dengan keperluan industri dapat meningkatkan kebolehpasaran, manakala kerjasama antara institusi latihan dengan majikan membuka ruang kepada latihan praktikal, perantisan dan penempatan kerja yang lebih terarah.

Walaupun kemunculan teknologi baharu tidak semestinya menghapuskan keseluruhan sesuatu bidang pekerjaan, namun kerajaan perlu bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya ketidakpadanan antara kemahiran pekerja dengan keperluan majikan.

Latihan semula, khidmat kaunseling kerjaya dan pengiktirafan kemahiran sedia ada dapat membantu pekerja beralih ke bidang yang masih menawarkan permintaan tenaga kerja.

Namun, usaha meningkatkan kemahiran sahaja tidak memadai jika peluang pekerjaan yang sesuai masih terhad. Kerajaan perlu memastikan pelaburan baharu, khususnya dalam sektor bernilai tinggi, menghasilkan pekerjaan berkualiti yang boleh diisi tenaga kerja tempatan.

Insentif kepada pelabur sewajarnya mengambil kira komitmen mewujudkan pekerjaan, menawarkan gaji munasabah dan menyediakan latihan kepada pekerja. Pelaburan tidak seharusnya dinilai berdasarkan nilai modal yang dibawa masuk semata-mata tetapi juga sumbangannya terhadap pendapatan rakyat dan pembangunan tenaga kerja tempatan.

Sokongan kepada perniagaan tempatan boleh memperluas peluang pekerjaan tetapi pertumbuhan itu perlu disertai usaha memastikan pekerjaan yang diwujudkan berkekalan serta menawarkan pendapatan yang munasabah.

PERLINDUNGAN SOSIAL

Bantuan kepada golongan rentan wajar diteruskan tetapi dalam masa sama usaha jangka panjang perlu menumpukan penciptaan pekerjaan stabil, peningkatan kemahiran dan pertumbuhan gaji.

Pertumbuhan ekonomi yang tidak diterjemahkan kepada pendapatan lebih baik akan menyukarkan keluarga membina simpanan, menghadapi kecemasan dan merancang masa depan.

Tahun depan, kerajaan menaikkan kadar gaji minumum daripada RM1,700 kepada RM2,000, berkuatkuasa Jun 2027.

Kerana itu, pelaksanaan setiap inisiatif perlu dipantau berdasarkan hasil yang boleh diukur, termasuk perubahan pendapatan isi rumah, bilangan pekerjaan baharu, kadar penempatan semula pekerja yang kehilangan pekerjaan serta kualiti pekerjaan yang diwujudkan.

Kerajaan juga perlu memastikan insentif pelaburan memberikan manfaat nyata kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan taraf hidup.

Melalui Bakat Madani, sasaran 30,000 peluang pekerjaan baharu disediakan termasuk melalui penglibatan syarikat swasta.

Kemajuan teknologi pula menuntut persediaan lebih awal agar pekerja tidak sekadar menerima kesan perubahan, sebaliknya turut berpeluang menguasai kemahiran baharu dan menyertai bidang pekerjaan yang berkembang.

Tanpa perancangan rapi, bantuan mungkin hanya meringankan kesusahan buat sementara waktu sedangkan masalah pendapatan dan kehilangan pekerjaan terus berlarutan.

Ketika ini, rakyat bukan sahaja memerlukan bantuan untuk menghadapi tekanan kos sara hidup tetapi juga pekerjaan yang stabil dengan gaji yang bermaruah.

Kejayaan Belanjawan 2027 hanya akan dilihat dilihat pada sejauh mana dasar yang dilaksanakan mampu melindungi pekerja, meningkatkan pendapatan dan memberi peluang kepada rakyat membina kehidupan yang lebih terjamin. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini