PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan dalam pembentangan Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan bakal memberi manfaat secara langsung kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara.
Bagaimanapun katanya, bagi memberi ruang penyesuaian model perniagaan, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mencatatkan hasil jualan di bawah RM50 juta diberi pengecualian daripada pelaksanaan kadar baharu tersebut.
“Kerajaan turut mendedahkan bahawa kadar gaji minimum sedia ada hanya menaikkan lantai pendapatan pekerja, manakala upah bagi pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan serta kemahiran yang dimiliki.
“Bagi menangani isu berkenaan, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan penanda aras gaji minimum RM2,500 sebulan sebagai permulaan bagi pekerjaan kategori separa mahir dan graduan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan menyambut baik komitmen Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang tampil meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini, yang memberi manfaat kepada 230,000 pekerja.
Katanya, perkembangan positif itu melengkapi pelbagai inisiatif kerajaan yang sebelum ini telah menaikkan gaji minimum, menetapkan kadar upah bagi graduan dan pekerja separa mahir, serta melaraskan gaji penjawat awam. –UTUSAN











