KUALA LUMPUR: Had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010, dinaikkan dari RM9,000 kepada RM12,000 sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kumpulan pertengahan iaitu M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mendengar keresahan golongan M40 yang cekal bersabar turut terhimpit beban sara hidup.
“Maka sukacita diumumkan, had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak satu mata peratusan.
“Banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus. Banjaran pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 dikurangkan kepada 24 peratus,” katanya.
Menteri Kewangan itu berkata, pelepasan cukai individu turut diperluas termasuk rawatan atau perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, penjagaan ibu bapa yang diperlus kepada semua perbelanjaan penjagaan.
“Selain itu, peralatan sukan meliputi pembelian kasut sukan, yuran pengajian dan kemahiran diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.
“Gaya hidup diperluas merangkumi langganan kecerdasan buatan (AI) serta kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar,” katanya. – UTUSAN











