Suami isteri `gembira' agih makanan percuma - Utusan Malaysia

Suami isteri `gembira’ agih makanan percuma

MOHD. Hafizi CM Hatta (tengah, baju hijau muda) membuat pengagihan kira-kira 300 pek makanan percuma di Perkampungan Sungai Isap Jaya di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sedih memikirkan nasib golongan terkesan akibat Covid-19, sepasang suami isteri dari Indera Mahkota di sini melaksanakan inisiatif dengan mengedar 300 hingga 600 pek makanan percuma kepada mereka yang memerlukan.

Menurut Mohd. Hafizi CM Hatta, 33, inisiatif tersebut lahir apabila pernah didatangi penduduk setempat yang merintih ekoran terputus sumber makanan.

Katanya, program dilakukan bersama isterinya, Nor Syakila Azimi, 36, ternyata memberi kepuasan kepada mereka berdua walaupun terpaksa menyediakan makanan tersebut hampir setiap pagi.

“Kami mula memasak sekitar pukul 1 pagi bagi memastikan setiap menu disediakan dapat diagihkan kepada penerima tepat pada masa dijadualkan, iaitu sekitar pukul 8.30 pagi setiap hari Isnin sehingga Sabtu.

“Semua persiapan daripada membeli barang mentah, memasak dan kemudiannya membungkus dilakukan saya dan isteri, selain dibantu abang dan kakak ipar.

“Namun begitu jumlah bungkusan makanan bergantung kepada permintaan penduduk di kawasan terbabit, biasanya kami sediakan kira-kira 300 pek pada hari biasa dan adakalanya mencecah 600 pek pada hari Jumaat,” katanya selepas selesai mengagihkan pek makanan percuma di kawasan Perkampungan Sungai Isap Jaya di sini semalam.

Suami isteri itu adalah peniaga di sebuah kedai makan di Jalan Darat Makbar, dekat sini, namun berikutan prosedur operasi standard (SOP) mereka terpaksa menghentikan seketika operasi dan memberi tumpuan kepada kerja amal berkenaan.

Antara kawasan sudah diagihkan pek makanan ialah di perkampungan Bukit Setongkol, Sungai Isap, Permatang Badak, Kampung Jawa, Kampung Tiram dan Kampung Tengah.

Mohd. Hafizi berkata, dia menyediakan peruntukan RM500 setiap hari, bagi menjayakan program berkenaan dan antara menu lazimnya yang disediakan ialah nasi ayam cincang dan nasi lemak daun pisang.

“Pada peringkat awal, kami gunakan modal sendiri dan apabila rakan-rakan mula mengetahui program kami buat, ramai yang sudi membantu sekali gus memberikan sumbangan.

“Bagi mereka yang ingin menempah pek makanan untuk keluarga atau untuk diagihkan kepada penerima lain boleh menghubungi kami untuk urusan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya yang turut berkongsi cerita dan pengalaman ketika mengendalikan pengagihan tersebut, mereka pernah dihadiri sepasang suami isteri yang sudah tidak makan selama dua hari.

“Saya memang terkejut, ternyata kehidupan mereka begitu daif sudahlah tidak boleh bekerja malahan mempunyai tanggungan anak sembilan orang,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Hafizi turut menyatakan program pengagihan pek makanan percuma itu mendapat kelulusan pihak berkuasa dan mereka mematuhi setiap SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×