KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, tidak berkecil hati apabila video muzik Kelip Kelip yang terbit enam tahun lalu kembali diperkatakan dan menjadi bahan ejekan warga maya.
Aina, 33, berkata naskhah itu dihasilkan ketika dia mula memulakan kerjaya sebagai penyanyi serta melakukan banyak eksperimentasi dalam setiap lagunya.
“Cakaplah apa pun, saya tetap bangga dengan apa yang telah saya hasilkan. Waktu itu saya masih baharu dalam industri dan mahu mencuba macam-macam perkara.
“Bayangkan, dalam satu video muzik sahaja saya menggayakan sepuluh persalinan baju. Saya gembira ada yang menyukainya, dan kalau ada yang mengutuk pun saya tidak kisah kerana perkara itu sudah lama berlalu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika sesi mendengar lagu Bluest Sky, semalam.
Tambah penyanyi Terus Hidup itu, dia percaya lagu tersebut akhirnya pendapat sambutan yang baik mengenangkan lagu itu tidak mempunyai jumlah pendengar yang banyak ketika dilancarkan enam tahun lalu.
“Mungkin dahulu karya ini kurang mendapat perhatian, tetapi tuah manusia kita tidak tahu. Ia mungkin datang selepas beberapa tahun.
“Sejujurnya saya sendiri terkejut apabila membuka aplikasi Threads dan melihat semula ‘muka lama’ saya. Saya rasa lucu, tetapi dalam masa yang sama gembira kerana orang kembali memperkatakan tentang lagu tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, video muzik Kelip-Kelip menjadi tular di media sosial selepas segelintir netizen menyifatkan konsep dan gaya Aina pada waktu itu sebagai janggal, namun ramai juga peminat mempertahankan kualiti vokal Aina yang dianggap sudah hebat sejak awal kemunculannya. – UTUSAN











