JPJ kesan motosikal disewakan RM200 sebulan kepada warga asing

JPJ kesan motosikal disewakan RM200 sebulan kepada warga asing

ZULKIFLY Ismail (kanan) memeriksa sebahagian daripada motosikal yang disita menerusi Ops PeWA yang dijalankan di sekitar George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ada pemilik motosikal warga tempatan yang dikesan berani menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing dengan bayaran serendah RM200 sebulan untuk kegunaan harian meskipun menyedari penyewa terbabit mungkin tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Pendedahan itu dibuat oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail ketika turut-serta dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) yang berlangsung selama lima di sini bermula pukul 5 pagi tadi.

Menurut Zulkifly, hasil pemeriksaan mendapati, ada juga dalam kalangan penunggang motosikal warga asing itu yang membeli kenderaan tersebut untuk kegunaan mereka, namun, mendaftarkannya atas nama warga tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, beliau menasihatkan warga tempatan agar lebih berhati-hati sebelum menyewakan atau meminjamkan motosikal kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu atau dokumen yang sah selain memberi kebenaran kepada warga asing untuk mendaftarkan kenderaan berkenaan atas nama mereka.

“Jangan sekali-kali berbuat demikian kerana risiko yang menanti bukan sahaja melibatkan pemandu itu sendiri, malah, boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Dalam Ops PeWA itu, sebanyak 694 kenderaan telah diperiksa secara keseluruhannya dengan 74 daripadanya telah disita membabitkan pemandu warga asing manakala 258 notis saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, kebanyakan warga asing yang diperiksa dalam operasi itu pula bekerja sebagai pekerja kontrak dan kilang dengan majoriti daripada mereka terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, India dan Myanmar.

Sementara itu, Zulkifly berkata, kesalahan yang paling banyak dikesan dalam operasi itu ialah memandu tanpa lesen dengan 158 tindakan diambil manakala 50 kes membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang tamat tempoh.

“Tindakan menyita kenderaan pula dilaksanakan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menghentikan kesalahan daripada terus dilakukan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini