EKONOMI global diunjur berkembang secara sederhana sebanyak 3.0 peratus pada 2026 dan 3.4 peratus pada 2027 dipacu terutamanya oleh momentum permintaan yang semakin pesat dalam sektor teknologi global berikutan kemajuan kecerdasan buatan (AI).
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, prospek pertumbuhan adalah tidak sekata disebabkan oleh konflik Asia Barat yang terus memberikan tekanan kepada negara pengimport tenaga dan ekonomi yang mudah terjejas.
“Sementara itu, permintaan yang didorong oleh Al akan meningkatkan prospek negara yang berintegrasi dalam rantaian nilai teknologi global.
“Pertumbuhan dalam ekonomi maju dijangka berkembang secara sederhana manakala pasaran baru muncul dan ekonomi sedang membangun (EMDE) akan terus menjadi pemacu utama aktiviti ekonomi global.
“Perkembangan tersebut turut disokong oleh inflasi yang semakin mereda dan pelonggaran berperingkat dasar monetari sekali gus memberikan dorongan tambahan kepada aktiviti pelaburan dan perdagangan,” katanya.
Menurut laporan, perdagangan global terus berdepan dengan fragmentasi yang semakin meningkat berikutan dasar melindungi kepentingan domestik terutamanya melalui tarif yang lebih tinggi sekali gus menjejaskan aktiviti ekonomi rentas sempadan.
“Sebagai negara perdagangan, Malaysia perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi dengan terus mempelbagaikan pasaran eksport, memperkukuh integrasi serantau dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan di samping memelihara kestabilan makroekonomi dan kewangan,” katanya.-UTUSAN











