PERMINTAAN domestik diunjur berkembang sebanyak 5.4 peratus pada 2026, didorong penggunaan dan perbelanjaan pelaburan yang berterusan dengan perbelanjaan sektor swasta dan awam masing-masing dijangka meningkat sebanyak 5.6 peratus dan 4.9 peratus.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, permintaan domestik mencatat pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada separuh pertama 2026 dan momentum itu dijangka berterusan pada separuh kedua tahun ini.
“Penggunaan swasta berkembang sebanyak 4.7 peratus pada separuh pertama 2026 dan dijangka meningkat sebanyak lima peratus bagi keseluruhan tahun mencerminkan peningkatan pendapatan boleh guna didorong aktiviti ekonomi domestik menggalakkan serta pasaran buruh yang kekal stabil.
“Pertumbuhan pendapatan turut disokong pelbagai langkah dasar berkaitan gaji, terutama pelaksanaan fasa kedua pelarasan gaji perkhidmatan awam di bawah SSPA.
“Penggunaan isi rumah terus disokong langkah kerajaan untuk mengekalkan kuasa beli melalui bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta peluasan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).
“Pada masa sama, pelaksanaan berterusan BUDI95 dan subsidi bersasar BUDI Diesel dijangka meredakan kesan kejutan harga tenaga dan tekanan inflasi terhadap isi rumah,” katanya.
Selain itu, perbelanjaan dan aktiviti berkaitan pelancongan dijangka meningkat susulan penganjuran acara utama di peringkat nasional dan antarabangsa termasuk Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027), Piala Dunia FIFA 2026, Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang serta pilihan raya negeri.
Sementara itu, pelaburan swasta berkembang sebanyak enam peratus pada separuh pertama tahun ini dan dijangka meningkat sebanyak 7.8 peratus pada 2026, terutama dipacu perbelanjaan modal firma yang lebih tinggi bagi pembinaan struktur serta jentera dan peralatan.
“Pertumbuhan ini turut disokong pelaksanaan berperingkat projek berbilang tahun hasil daripada pelaburan yang diluluskan pada tahap tinggi, iaitu RM384.4 bilion pada 2024 dan RM431.1 bilion pada 2025, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh baharu.
“Pelaburan tersebut tertumpu di beberapa negeri, terutama Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
“Pembangunan strategik yang berterusan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta kawasan perindustrian sedia ada turut dijangka mengekalkan momentum pelaburan.
“Di samping itu, kesinambungan pelbagai pelan induk nasional terus diperkukuh melalui pelaksanaan berperingkat Kerangka Insentif Baharu (NIF) yang dijangka terus menyokong aktiviti pelaburan di kawasan baharu muncul dan kurang membangun,” katanya. – UTUSAN











