Pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan RM207.1 bilion pada 2026 - Utusan Malaysia

Pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan RM207.1 bilion pada 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PINJAMAN kasar bagi 2026 diunjur sebanyak RM207.1 bilion atau 9.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding RM181.7 bilion atau pada 2025 (9.0 peratus daripada KDNK) didorong terutamanya oleh keperluan pembiayaan semula yang lebih tinggi sebanyak RM128.5 bilion (2025: RM106.1 bilion).

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, pembiayaan Kerajaan Persekutuan terus memenuhi dua matlamat utama iaitu membiayai defisit fiskal dan membiayai semula hutang yang matang.

Katanya, strategi terbitan kekal mengutamakan profil kematangan yang seimbang, di samping mengoptimumkan kos pembiayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bayaran balik prinsipal terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berjumlah RM53.7 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sebanyak RM55 bilion, Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) sebanyak RM5.5 bilion, Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) sebanyak RM10 bilion dan penebusan pinjaman luar pesisir berjumlah RM4.3 bilion termasuk AS$1 bilion (RM4.08 bilion) dalam sukuk global.

“Pinjaman sekuriti jangka sederhana dan panjang diunjurkan pada 35.4 peratus dan 56.8 peratus daripada jumlah pinjaman kasar serta terus mendominasi program pinjaman berbanding kertas jangka pendek sebanyak 7.8 peratus yang terutamanya digunakan sebagai instrumen aliran tunai.

“Purata wajaran tempoh matang bagi terbitan tahun ini dijangka kekal sekitar 12.3 tahun (2025: 13 tahun) mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk mengurus kos pinjaman, di samping meminimumkan risiko pembiayaan semula,” katanya.

Bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, kerajaan telah menerbitkan sebanyak RM150.6 bilion atau 72.7% daripada keperluan pinjaman kasar tahunan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM130 bilion diterbitkan melalui MGS dan MGII, manakala RM14.5 bilion melalui MTB dan MITB dengan baki selebihnya melalui terbitan luar pesisir.

Hasil terimaan terbitan digunakan terutamanya untuk pembayaran balik hutang matang berjumlah RM71 bilion, manakala baki sebanyak RM79.6 bilion telah diperuntukkan untuk membiayai defisit dan sebahagian daripada hutang yang akan matang.

Menurut laporan, perbezaan pendirian dasar monetari antara ekonomi utama dan Malaysia, di samping ketegangan geopolitik yang berterusan dan perubahan sentimen risiko global terus menyokong pasaran bon domestik.

Jelasnya, aliran masuk bersih bukan pemastautin terhadap sekuriti hutang Kerajaan Persekutuan mencecah sebanyak RM6.3 bilion sepanjang lapan bulan pertama 2026 (Januari-Ogos 2025: RM15.9 bilion).

“Peralihan aliran modal antarabangsa dan prospek ekonomi domestik yang positif ini telah memacu aliran masuk yang stabil ke pasaran bon tempatan.

“Selaras dengan trend global, kadar hasil mula meningkat bermula Mac 2026 dengan kadar hasil penanda aras MGS untuk tempoh matang tiga hingga 10 tahun melonjak antara 35 hingga
48 mata asas (bps), manakala bagi MGII dalam tempoh matang yang sama meningkat antara 29 hingga 49 bps.

“Walau bagaimanapun, peningkatan tersebut adalah lebih kecil berbanding kenaikan kadar hasil global seterusnya membolehkan kerajaan mengurus kos pembiayaan dengan memanfaatkan purata kadar hasil kupon yang lebih rendah.

“Sehubungan itu, purata wajaran kos pinjaman adalah lebih baik sekitar 3.71 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 (Januari-Ogos 2025:3.79 peratus) walaupun mencatatkan jumlah terbitan yang lebih tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini