INFLASI keseluruhan dijangka meningkat secara berperingkat menjelang akhir tahun antara 1.5 hingga 2.5 peratus dan kekal terkawal susulan kenaikan kos tenaga, pengangkutan barang, makanan dan input lain dipindahkan kepada harga runcit.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, tekanan kos luaran dijangka dapat dikurangkan melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar, langkah penstabilan harga domestik serta nilai ringgit yang secara relatif stabil.
“Permintaan domestik dijangka kekal kukuh tanpa mencetuskan tekanan inflasi yang berlebihan daripada faktor permintaan,” katanya,
Bagaimanapun, tekanan kos di peringkat pengeluar dilihat lebih ketara apabila Indeks Harga Pengeluar (IHPR) mencatat purata peningkatan 4.6 peratus bagi tempoh lapan bulan pertama 2026 berbanding penurunan 2.3 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
“Kenaikan harga pengeluar itu terutama didorong peningkatan harga bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya serta bahan perantaraan, bekalan dan komponen, selain tekanan harga dalam sektor pembuatan termasuk produk petroleum bertapis serta produk komputer, elektronik dan optikal.
“Bagi peringkat pemprosesan, harga bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat purata 15.4 peratus sepanjang Januari hingga Ogos 2026 berbanding penurunan 4.1 peratus dalam tempoh sama 2025.
“Harga bahan perantaraan, bekalan dan komponen pula meningkat purata 2.8 peratus berbanding penurunan 2.2 peratus dalam tempoh sama tahun lalu, manakala harga pengeluar bagi barang siap meningkat sederhana 0.9 peratus berbanding 1.3 peratus,” katanya.
Jelasnya, tumpuan tekanan kos pada peringkat awal pengeluaran menunjukkan pemindahan tekanan tersebut kepada harga pengguna berkemungkinan berlaku secara beransur-ansur.
“Kenaikan harga pengeluar bagi barang siap yang secara relatif sederhana turut menunjukkan pemindahan kos huluan yang lebih tinggi kepada harga runcit kekal terhad,” katanya. – UTUSAN











