WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Khamis menafikan kemungkinan melancarkan serangan terhadap Iran sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) pada 3 November.
Beliau turut menyatakan Washington sedang mengadakan perbincangan yang produktif”dengan Teheran.
Kenyataan Trump yang disiarkan menerusi platform Truth Social itu menyusuli kenaikan mendadak harga minyak pada Khamis, susulan laporan media yang mencadangkan kemungkinan serangan baharu AS sebelum pilihan raya berkenaan.
“Saya mahu menjelaskan kepada semua pihak bahawa walaupun Iran berada dalam keadaan sangat buruk, dari segi ekonomi dan ketenteraan, serta sekatan laut akan terus dikuatkuasakan sepenuhnya, kami tidak akan menyerang Iran pada bila-bila masa sebelum pilihan raya pertengahan penggal,” tulisnya.
“Kami sedang mengadakan perbincangan yang produktif dengan Republik Islam Iran,” tambahnya tanpa memberikan butiran lanjut.
Laman berita The Atlantic melaporkan pada Rabu bahawa Rumah Putih meminta Pentagon menyediakan beberapa pilihan untuk menyerang sasaran di Iran yang boleh dilaksanakan sebelum pilihan raya pertengahan penggal.
Akhbar The New York Times menerbitkan laporan serupa pada Khamis, dengan menyatakan rancangan itu sedang dirangka meskipun Trump masih berbelah bahagi mengenainya.
Kenaikan harga minyak mentah turut didorong ketegangan berterusan di Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi laluan penting perdagangan minyak global dan permusuhan antara kumpulan Houthi di Yemen disokong Iran dengan Arab Saudi. – AFP/AGENSI











