PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL), Puan Sri Tiara Jacquelina mengakui terkilan apabila kira-kira 22,000 peminat masih kempunan mendapatkan tiket pementasan epik berkenaan yang kembali dipentaskan selepas 20 tahun.
Menurut Tiara, pihaknya menerima pelbagai rayuan daripada peminat yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan berpeluang menyaksikan naskhah tersebut.
“Ada yang merayu sanggup berdiri dan duduk di tangga asalkan dapat menonton.
“Terus terang saya rasa sangat bersalah dan kasihan kepada 22,000 orang yang masih beratur dalam talian.
“Kalaulah dewan itu milik kami, sudah tentu kami mahu masukkan semua orang. Tetapi sayangnya ada pementasan lain yang menanti sejurus selepas PGL,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan PGL di sini, semalam.
Malah, kata Tiara, dia sendiri hanya berjaya mendapatkan satu tiket untuk suaminya, Tan Sri Effendi Norwawi.
“Saya sendiri hanya dapat satu tiket untuk suami saya. Yang lain saya ingat hendak beli kemudian.
“Satu tiket itu saya beli sekadar untuk mencuba apabila talian dibuka. Tidak sangka rupanya tidak sempat untuk beli tiket yang lain,” katanya.
Tiara turut mengakui terharu dan sukar mempercayai PGL mencipta sejarah tersendiri apabila sebanyak 23,000 tiket habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan dalam talian dibuka.
“Kalau sesuatu itu bagus, pasti akan bertahan lama. Ini buktinya apabila 23,000 tiket terjual dalam masa dua jam.
“Tidak pernah terjadi di Malaysia untuk apa-apa show sekali pun. Itu bukti masih ada orang yang mahu menonton PGL,” katanya.
Dalam pada itu, susulan sambutan luar biasa daripada peminat serantau, Tiara mendedahkan pihaknya kini dalam perbincangan awal bagi membawa pementasan PGL ke Singapura.
“Di media sosial, peminat dari Singapura turut bising dan mengadu tidak sempat merebut tiket.
“Dulu sewaktu kami ke Esplanade, pementasan mencatat full house sehingga terpaksa ditambah dua persembahan lagi.
“Sebenarnya kami sedang dalam perbincangan dengan pihak di sana untuk melihat kemungkinan membawanya ke sana. Namun, pementasan sebesar ini bukan mudah untuk dipindahkan. Jika ada rezeki, insya-Allah,” ujarnya.
Pementasan PGL kali ini bakal mencatat lembaran baharu apabila dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, yang disifatkan Tiara sebagai dewan teater paling canggih di Malaysia, lengkap dengan teknologi terkini serta menawarkan keselesaan visual optimum dari setiap sudut tempat duduk.
PGL akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November ini.











