PETALING JAYA: Bekas pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas membenam wakil Taiwan, Su Li Yang di peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, hari ini.
Anak jati Kedah yang menghuni ranking ke-56 dunia itu menewaskan Li Yang yang berada di tangga No. 39 dunia 21-17, 21-12 dalam masa 46 minit.
Kemenangan itu meletakkan Zii Jia mendahului rekod pertemuan ke atas Li Yang dengan kedudukan 3-0.
Seandainya berhajat menempah slot separuh akhir, Zii Jia perlu melepasi halangan getir berdepan bintang No. 2 dunia, Christo Popov dari Perancis.
Jika dilihat kepada rekod pertemuan kedua-dua pemain, Zii Jia memiliki kelebihan psikologi kerana pernah mencatat dua kemenangan, manakala, Popov belum pernah mengalahkan bekas jaguh No. 2 dunia itu.
Bagaimanapun, kali terakhir Zii Jia mengalahkan Popov adalah di kejohanan sama, dua tahun lalu menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-14.
Sejak itu, mereka berdua tidak pernah bertemu dan banyak yang telah berubah dengan Zii Jia berdepan isu kecederaan yang menjadi punca kemerosotannya, manakala, Popov kini bergelar bintang handalan dunia.
Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, dua pasangan Malaysia, Jimmy Wong-Cheng Su Yin dan Chen Tang Jie-Chan Wan Tse terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada lawan masing-masing.
Pasangan ke-58 dunia, Jimmy-Su Yin terpaksa akur kepada beregu No. 20 dunia, Akira Koga-Natsu Saito dari Jepun 21-19, 7-21, 11-21 dalam masa 1 jam 1 minit.
Tang Jie-Wan Tse pula tunduk kepada pasangan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China 15-21, 14-21 dalam masa 40 minit. – UTUSAN











