PPP sedia lawan DAP di dua kerusi bandar

PPP sedia lawan DAP di dua kerusi bandar

SATHIAH SUDAKARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Parti Progresif Penduduk (PPP) bersedia mencabar DAP di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan bandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Pilihan Raya Ne­geri PPP Melaka, Sathiah Sudakaran berkata, dua kerusi yang menjadi sasaran parti itu ialah DUN Kota Laksamana dan Bandar Hilir yang kedua-duanya berada di bawah Parlimen Kota Melaka.

Katanya, PPP sebelum ini pernah bertanding di Kota Laksamana pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, manakala kedua-dua kerusi berkenaan kini merupakan kawasan yang dimenangi DAP.

“Kami ada dua sasaran DUN kali ini untuk bertanding. Se­perti yang dinyatakan Presi­den kami, PPP akan fokus kepada dua DUN dan kerusi yang akan ditandingi itu ditentukan pimpinan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sathiah berkata, hasrat untuk bertanding di kedua-dua kerusi itu sudah dimaklumkan Presiden PPP kepada Presiden dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, katanya, PPP belum menerima keputusan berhubung pembahagian kerusi dan masih menunggu hasil perbincangan antara pimpinan parti dengan BN.

“Kalau diberi peluang kepada PPP, kami berhasrat untuk bertanding dalam salah satu daripada dua kerusi ini.

“Terpulang kepada Penge­ru­si BN. Setakat ini kami belum menerima apa-apa berita berkenaan pembahagian kerusi, tetapi Presiden kami sedang berbincang dengan Pengerusi BN untuk mendapatkan kata putus,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi PRN Melaka, Sathiah berkata, jentera PPP kini sudah bersiap sedia dan akan dilancarkan pada bila-bila masa.

Katanya, PPP turut melaksanakan program anak angkat membabitkan enam kawasan Parlimen bagi membantu BN memenangi kerusi yang akan ditandingi pada PRN berke­naan.

“Kita mengambil enam Parlimen sebagai anak angkat, di mana setiap negeri akan mengambil alih satu Parlimen sebagai anak angkat dan membantu BN memenangi setiap kerusi yang akan ditandingi.

“Strategi kali ini lebih kepada memberi fokus kepada kerusi yang mempunyai majoriti tipis dan kerusi yang kita menangi pada 2022,” katanya.

Menurutnya, tumpuan turut diberikan kepada kawasan yang mempunyai jumlah pengundi yang tinggi serta mempunyai keahlian PPP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini