PETALING JAYA: Pembentangan Belanjawan 2027 berpotensi mempengaruhi pergerakan ringgit dalam jangka pendek, khususnya melalui perubahan sentimen dan keyakinan pelabur terhadap kedudukan fiskal serta prospek ekonomi Malaysia.
Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, sasaran defisit fiskal merupakan satu daripada petunjuk penting yang digunakan oleh pelabur untuk menilai keupayaan kerajaan mengurus perbelanjaan, mengawal pertambahan hutang dan mengekalkan kestabilan makroekonomi.
“Sekiranya kerajaan mengumumkan sasaran pengurangan defisit fiskal yang realistik dan disokong oleh langkah konsolidasi fiskal yang meyakinkan, perkembangan tersebut boleh meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kemampanan kewangan negara.
“Keyakinan yang bertambah baik berpotensi menyokong permintaan terhadap aset kewangan dalam denominasi ringgit, termasuk sekuriti hutang kerajaan, sekali gus memberikan sokongan kepada mata wang tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun begitu, beliau berkata, reaksi pasaran tidak bergantung semata-mata pada angka defisit yang diumumkan, tetapi juga pada sejauh mana sasaran tersebut memenuhi atau mengatasi jangkaan pasaran.
Menurutnya, sekiranya pengurangan defisit telah dijangkakan lebih awal, kesannya terhadap ringgit mungkin terhad.
Sebaliknya, tambahnya, sasaran yang lebih lemah daripada jangkaan atau pelan pelaksanaan yang kurang meyakinkan boleh menimbulkan tekanan terhadap ringgit.
“Dalam konteks semasa, faktor luaran juga perlu diberi perhatian. Perkembangan dasar monetari Amerika Syarikat (AS), khususnya jangkaan terhadap kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed), boleh mempengaruhi kekuatan dolar AS dan aliran modal antarabangsa.
“Justeru, walaupun Belanjawan 2027 menunjukkan komitmen fiskal yang kukuh, pengukuhan ringgit mungkin masih dibatasi oleh kekuatan dolar AS atau ketidaktentuan pasaran kewangan global,” ujarnya.
Mengulas mengenai sasaran defisit fiskal yang positif kepada pengukuhan ringgit, beliau berkata, sasaran sekitar 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2027 boleh dianggap sebagai perkembangan positif dan munasabah sekiranya dibandingkan dengan sasaran defisit 3.5 peratus bagi 2026.
Siong Hook berkata, sasaran ini juga menunjukkan kesinambungan usaha konsolidasi fiskal kerajaan ke arah mencapai defisit sekitar 3.0 peratus daripada KDNK menjelang 2028.
“Sebagai konteks, Apex Securities mengunjurkan defisit fiskal Malaysia menyusut kepada 3.3 peratus daripada KDNK pada 2027, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengiktiraf komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran defisit 3.0 peratus menjelang 2028.
“Angka 3.3 peratus ini merupakan unjuran pasaran, bukannya sasaran rasmi Belanjawan 2027 yang telah diumumkan.
“Sekiranya kerajaan mengumumkan sasaran defisit lebih rendah, misalnya sekitar 3.0 peratus hingga 3.2 peratus daripada KDNK, ia mungkin memberikan kejutan positif kepada pasaran dan menyokong pengukuhan ringgit, dengan syarat sasaran tersebut mempunyai asas yang kukuh serta tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berpandangan bahawa prospek ringgit sehingga akhir 2026 masih berpotensi kekal stabil dengan kecenderungan untuk mengukuh secara beransur-ansur, sekiranya Belanjawan 2027 dapat meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan fiskal negara dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Pada paras sekitar RM4.08 bagi setiap dolar AS, ringgit mempunyai ruang untuk mengukuh sekiranya sasaran pengurangan defisit fiskal memenuhi atau mengatasi jangkaan pasaran, aliran masuk pelaburan asing berterusan dan prospek ekonomi domestik kekal positif,” jelasnya. –UTUSAN











