SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal cedera selepas dihempap muatan tanah daripada sebuah lori yang terbalik di Bulatan Persiaran Perdana, Nilai, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Johari Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi ketika lori yang membawa muatan tanah dalam perjalanan dari arah Sepang menghala ke Nilai.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas serta terbalik di tengah-tengah jalan.
“Muatan tanah yang dibawa kemudian jatuh dan terkena penunggang motosikal yang berusia 18 tahun dan motosikalnya yang sedang melalui jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari berkata, kemalangan itu turut membabitkan sebuah sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 45 tahun.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu lori berusia 29 tahun turut mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
“Pemandu kereta tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN











