PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Azeva Natassha tampil mempersoalkan sikap segelintir pihak yang dilihat lebih mengagungkan produk luar negara berbanding jenama tempatan.
Menurut Azeva, banyak produk keluaran Malaysia di pasaran pada masa kini mempunyai kualiti yang setanding dengan jenama antarabangsa.
“Dari dulu selalu terfikir, kenapa kita lebih pandang tinggi produk luar sedangkan produk tempatan kita sendiri pun banyak yang berkualiti?
“Kadang-kadang kita sendiri yang tidak bagi peluang untuk jenama tempatan untuk berkembang,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Tanpa Rasa Jemu itu turut menyeru masyarakat supaya mengubah persepsi terhadap produk tempatan selain memberikan sokongan kepada jenama keluaran anak Malaysia.
“Saya rasa sudah tiba masanya kita mula hargai dan sokong produk tempatan kita sendiri. Kalau bukan kita yang saling menyokong, siapa lagi?,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah meraih pelbagai respons dari kalangan warganet, malah ada segelintirnya yang tidak bersetuju dengan pandangannya.
Ada juga yang mendakwa penyanyi itu berkata demikian selepas dirinya turut mengusahakan produk kecantikan jenamanya sendiri, Azeva Cosmetics.
“Artis Malaysia kebanyakan promot jenama tempatan tetapi dalam kehidupan sebenar guna jenama mewah seperti YSL, Dior dan Chanel juga,” komen netizen.
“Produk kecantikan kulit awak pun bukan tempatan punya. Sekarang baru ada kesedaran lepas keluarkan produk sendiri untuk sokong produk awaklah itu,” kata seorang individu.











