BACHOK: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyeru penjawat awam di negara ini supaya terus mempraktikkan budaya pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa ditambah baik.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, langkah itu penting kerana sesuatu ilmu itu mungkin tidak dapat bertahan lama dengan kepesatan pembangunan teknologi masa kini.
Katanya, jika dahulu sesuatu ilmu atau bidang kepakaran mampu bertahan sehingga 20 tahun namun perkembangan pesat menyebabkan kepakaran tersebut bertahan sekitar lima hingga enam tahun sahaja.
”Dalam konteks perkhidmatan awam, elemen pembelajaran sepanjang hayat perlu dijadikan keutamaan. Inilah antara perkara yang perlu kita tambah baik dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan.
”Justeru itu, JPA sentiasa memberi galakan kepada penjawat awam untuk menambah pengetahuan melalui pelbagai tawaran pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana mahupun doktor falsafah (PhD),” katanya selepas Syarahan Perdana Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2026 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok di sini, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, kerajaan turut memperkenal program penambahbaikan seperti Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q) bagi membolehkan pegawai kerajaan menyambung pengajian. – UTUSAN











