Empat jenis Rafflesia kembang atas akar tarik pengunjung ke Lata Jarum

Empat jenis Rafflesia kembang atas akar tarik pengunjung ke Lata Jarum

BUNGA Rafflesia unik yang berkembang atas akar yang menjalar di Lata Jarum,Ulu Dong, Raub Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Keunikan empat jenis bunga Rafflesia yang kebanyakannya kembang di atas akar menjalar batang pokok menjadikan Lata Jarum, Ulu Dong, di sini tarikan ekopelancongan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antaranya adalah Rafflesia Cantleyi, Rafflesia Zzlanii dan Rafflesia Sharifah Hapsahiae yang disahkan faktanya oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali gus mengukuhkan nilai Lata Jarum sebagai lokasi untuk melihat bunga tunggal terbesar di dunia dalam habitat semula jadinya.

Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, keistimewaan Lata Jarum turut terletak pada Rafflesia yang kebanyakannya berkembang pada akar menjalar di batang pokok dan bukannya di permukaan tanah.

“Uniknya di sini, ia berbeza sedikit berbanding Jerantut dan Pulau Tioman kerana mempunyai empat spesies dan kebanyakannya mengembang di atas akar yang menjalar di batang pokok.

“Jadi, pengunjung boleh melihat bunga ini berkembang dalam habitat semula jadinya,” katanya selepas program Moh Jungle Trekking Sambil Menengok Bunga Rafflesia di Pusat Rekreasi Lata Jarum, kelmarin.

FADZLI Mohamad Kamal (dua dari kanan) menunjukkan bunga Rafflesia unik yang berkembang atas akar yang menjalar di Lata Jarum, Ulu Dong, Raub, Pahang.

Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Dong berkata, Pahang mempunyai tiga lokasi yang diketahui menjadi habitat Rafflesia iaitu Lata Jarum, Ulu Cheka di Jerantut dan Pulau Tioman manakala kewujudan Rafflesia di Lata Jarum dikesan sejak 2009.

Katanya, Rafflesia lazimnya hanya bertahan sekitar dua hari ketika berkembang dalam keadaan cantik, walaupun ada yang mampu bertahan sehingga empat atau lima hari bergantung kepada keadaan cuaca.

Sebanyak 14 kuntum Rafflesia pernah direkodkan berkembang di lokasi berkenaan pada Disember tahun lalu manakala kira-kira tujuh kuntum dapat dilihat dalam keadaan berbeza ketika program berlangsung.

Bagi memastikan khazanah itu terus terpelihara, katanya, pelantar pejalan kaki sepanjang kira-kira 100 meter dibina dengan kos hampir RM1 juta bagi mengelak pengunjung menyentuh atau memijak akar Rafflesia yang sangat sensitif.

“Jika disentuh, ia boleh menyebabkan bunga itu tidak mengembang dan mengambil masa untuk pulih. Pelantar ini membolehkan pengunjung melihatnya dengan lebih dekat tanpa menjejaskan habitat,” katanya.

Beliau berkata, laluan meredah hutan sejauh kira-kira lima kilometer pergi dan balik itu turut melalui beberapa anak sungai selain kawasan berkenaan mempunyai pelbagai khazanah flora dan fauna.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Perhutanan Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang turut melantik 15 penduduk sebagai pemandu arah yang diberikan latihan berkaitan Rafflesia.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja membantu memberi penerangan kepada pengunjung malah membuka peluang pendapatan kepada penduduk setempat.

“Pembukaan lokasi ini secara terkawal ditambah kemudahan pelantar pejalan kaki mampu menjadikan Lata Jarum antara produk ekopelancongan menarik di Raub serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memulihara khazanah alam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini