KUALA LUMPUR: Pelakon, Daler Yusof berpandangan jenama penjagaan diri, Kahf, tidak sepatutnya memuat naik sebarang perkongsian berbaur perkauman di media sosial.
Daler menerusi platform Thread berkata, tindakan itu hanya mengundang kecaman warganet Malaysia.
“Ya, sebagai Muslim kita memang kena belajar memaafkan.
“Tetapi, sebagai jenama besar, mereka sepatutnya tidak memuat naik sebarang perkongsian yang bersifat perkauman.
“Kalau orang nak boikot, itu hak mereka,” katanya.
Jenama Indonesia, Kahf dihujani kecaman gara-gara memuat naik perkongsian di media sosial yang berbaur sindiran terhadap beberapa negara termasuk Malaysia.
Kata Daler lagi, sebagai produk popular, Kahf seharusnya menjangkakan kemarahan warga Malaysia gara-gara perkongsian berkenaan.
“Mereka sepatutnya menjangkakan yang mereka akan dikecam, terima dengan hati terbuka dan teruskan kehidupan seperti biasa,” kongsinya lagi.- UTUSAN











