Umum mahu memberikan tumpuan sepenuhnya di belakang tabir, pelakon, Janna Nick mengakui populariti bukan lagi matlamat utama yang mahu dikejarnya ketika ini.
Sebaliknya, pemilik nama Nurul Janna Muner itu kini mahu memberi keutamaan kepada usaha menambah ilmu, perancangan keluarga serta menghasilkan pelbagai karya yang berkualiti .
“Bagi saya, populariti adalah sesuatu yang sementara. Sekarang saya sudah berada dalam fasa mahu memperlahankan rentak kerjaya. Saya sudah berkahwin dan mahu memberi tumpuan kepada menambah ilmu serta perancangan keluarga.
“Saya lebih ke arah itu sekarang. Populariti bukan lagi matlamat utama saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Janna, setiap individu mempunyai matlamat hidup yang berbeza dan keputusan untuk memperlahankan kerjaya di hadapan kamera dibuat berdasarkan keutamaan hidupnya ketika ini.
“Saya sekarang memang mahu fokus di belakang tabir. Itu matlamat dan misi utama saya buat masa ini. Sebagai pembikin filem, kita perlu banyak melakukan penyelidikan.
“Penyelidikan itulah yang akan membezakan kualiti penulisan dan cerita yang mahu disampaikan kepada penonton. Untuk berlakon, kita perlukan jiwa 100 peratus. Begitu juga apabila mahu mengarah dan menghasilkan karya, kita juga perlukan jiwa 100 peratus.
“Saya tidak boleh melakukan kedua-duanya sekali kerana kalau saya buat, akhirnya saya akan melakukannya separuh hati dan hasil kerja itu tidak akan berkualiti. Jadi, untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti, saya perlu memilih apa yang terbaik untuk diri saya,” jelasnya .

Pun begitu, pelakon yang mempunyai kelulusan Sarjana dalam bidang Seni Pembikinan Filem di United Kingdom (UK) itu tidak menolak sepenuhnya peluang untuk kembali berlakon sekiranya menerima tawaran dan naskhah yang benar-benar menarik minatnya.
“Bukan bermaksud saya tidak mahu berlakon langsung, cuma keutamaan saya sekarang lebih kepada kerja di belakang tabir.
“Kalau ada rezeki dan datang tawaran lakonan yang membuatkan saya rasa menarik, saya sanggup berhenti seketika daripada fokus terhadap kerja kreatif di belakang tabir untuk kembali berlakon,” kongsinya.
Mahu bantu tingkatkan standard perfileman tempatan
Ditanya mengenai cabaran terbesarnya sepanjang melanjutkan pelajaran di negara orang, Janna memilih untuk menyimpan rapi segala susah payah yang diharunginya sehingga Hari Graduasi tiba.
Janna bagaimanapun mengakui dengan segala ilmu pengetahuan yang dimilikinya hari ini, dia teruja untuk membantu tingkatkan standard perfileman tempatan ke arah yang lebih baik.
“Saya tidak sabar untuk mendalami dan menggali lebih banyak ilmu. Bagi saya, pengajian sarjana ini masih satu permulaan.
“Saya rasa masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk membawa lebih banyak ilmu dari luar negara ke Malaysia. Cara pemikiran mereka di sana dengan kita di sini sangat berbeza.
“Pada akhirnya, kita perlu kembali kepada identiti sendiri memandangakan Malaysia penuh dengan adat, budaya ketimuran dan agama. Kita mempunyai pegangan yang mungkin menjadi garis panduan dalam bidang perfileman,” tambahnya.
Dalam masa sama, Janna percaya penyelidikan menjadi antara elemen penting dalam usaha menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti, tetapi mampu memenuhi kehendak dan cita rasa penonton tempatan.
“Kita perlu menggali dengan lebih mendalam dan melakukan lebih banyak penyelidikan perlu dibuat untuk memahami bagaimana sesebuah cerita boleh disampaikan dengan cara yang memenuhi kehendak masyarakat Malaysia.
“Sebagai pembikin filem, kita perlu banyak melakukan kajian. Kajian itulah yang akan membezakan kualiti penulisan kita dan juga cerita yang mahu disampaikan kepada penonton,” katanya.











