BESUT: Kehidupan bekas anggota tentera berubah sekelip mata selepas diserang jangkitan kuman pada selaput otak sehingga menyebabkannya lumpuh dan bergantung sepenuhnya kepada mesin pernafasan sejak enam tahun lalu.
Pegawai Waran II (B) Tawaka Ab. Ghani, 43, pada mulanya hanya demam dan mengadu pening kepala sebelum tiba-tiba rebah di rumah sewa mereka di Selising, Kelantan dan dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA).
Isterinya, Rosliza Wahid, 43, berkata keadaan Tawaka semakin merosot sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu selepas bahagian kanan badannya menjadi lemah.
“Suami mengalami jangkitan kuman di selaput otak sebelum jangkitan itu merebak ke saraf tunjang dan saluran pernafasan.
“Selain mengalami sesak nafas, dia juga tidak lagi mampu bernafas sendiri sehingga terpaksa menjalani prosedur tebuk leher pada 12 April 2020 bagi membolehkan mesin pernafasan dipasang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Menurut Rosliza, suaminya pernah koma selama enam bulan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama setahun dari 2020 hingga Mac 2021 akibat pelbagai komplikasi termasuk masalah paru-paru kronik.
Kini, suaminya kehilangan fungsi anggota badan dan memerlukan penjagaan rapi termasuk memastikan mesin pernafasan sentiasa berfungsi serta kerap menyedut kahak bagi mengelakkan saluran pernafasan tersumbat.
Rosliza berkata, suaminya bersara pada 23 Jun 2023 selepas 21 tahun berkhidmat sebelum mereka berpindah ke kampung halaman di Bukit Jeruk pada Februari 2024.
Mereka kini bergantung kepada wang pencen, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan serta bantuan susu dan lampin daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Bagaimanapun, kos keperluan mencecah kira-kira RM1,500 sebulan, manakala bateri mesin pernafasan BiPAP yang digunakan sudah rosak dan memerlukan RM3,000 untuk diganti.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN 1110829826754413 atau menghubungi Rosliza di 019-7611448. – UTUSAN








