Drama turut membentuk jiwa

Drama turut membentuk jiwa

DRAMA yang hebat bukan hanya menarik perhatian ketika ditonton tetapi meninggalkan kesan yang mendorong manusia menjadi lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA menonton drama untuk hiburan tetapi tanpa disedari, drama turut mengajar kita tentang kehidupan, hubungan, nilai dan cara melihat sesuatu perkara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika ketawa bersama watak lucu atau marah terhadap watak antagonis, sebenarnya berlaku proses psikologi yang halus. Kita sedang belajar melalui apa yang ditonton.

Teori pembelajaran sosial Albert Bandura menjelaskan manusia boleh mempelajari tingkah laku melalui pemerhatian.

Dalam drama, penonton bukan sekadar melihat watak, malah boleh mengenal pasti dirinya dengan karakter tertentu dan menerima nilai yang dipaparkan sebagai sesuatu yang biasa.

Sebab itu, drama mempunyai pengaruh besar.

Apa yang ditonton berulang kali boleh mempengaruhi persepsi terhadap cinta, keluarga, kejayaan, hubungan sosial dan batas antara baik dengan buruk.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah proses normalisasi.

Sesuatu yang pada awalnya dianggap tidak sesuai boleh kelihatan biasa apabila dipaparkan berulang kali dalam bentuk menarik.

Ini lebih penting apabila drama mengetengahkan isu seksual dan hubungan kontroversi.

Persoalannya bukan sekadar kewujudan tema tersebut, tetapi bagaimana ia dipersembahkan dan mesej yang sampai kepada penonton.

Jika sesuatu isu dibawa untuk difahami secara kritis, konteksnya berbeza.

Namun, jika tingkah laku bertentangan dengan nilai agama digambarkan sebagai glamor dan tanpa akibat moral, persepsi penonton, khususnya golongan muda, boleh terpengaruh.

Dari perspektif Islam, kandungan media berkait rapat dengan pertanggungjawaban terhadap perkara yang dilihat dan didengar.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 36 bahawa pendengaran, penglihatan dan hati akan dipertanggungjawabkan.

Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim pula mengingatkan hati menjadi asas baik atau buruknya seseorang.

Dalam konteks ini, apa yang ditonton tidak semestinya terus mengubah tingkah laku tetapi boleh membentuk persepsi, sikap dan kecenderungan.

Watak yang dikagumi boleh menjadi model, manakala dialog serta cara menyelesaikan konflik boleh mempengaruhi pemahaman terhadap hubungan.

Akhirnya, ukuran kejayaan drama tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah penonton.

Lebih penting ialah apa yang mereka bawa pulang selepas skrin ditutup.

Adakah karya itu membuatkan mereka lebih menghargai keluarga, memahami orang lain, menghadapi ujian dan mendekati Tuhan?

Industri seni tidak perlu berhenti berkarya.

Sebaliknya, keberanian menyentuh realiti perlu disertai kematangan agar karya tidak sekadar menghiburkan tetapi meninggalkan nilai yang baik dalam jiwa.

Drama yang hebat bukan hanya menarik perhatian ketika ditonton tetapi meninggalkan kesan yang mendorong manusia menjadi lebih baik. – UTUSAN

DR. MOHD AFIFUDDIN MOHAMAD
Pensyarah Kanan,
Pusat Kanser Tun Abdullah
Ahmad Badawi (PKTAAB),
Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN