KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Atiqullah, 26, mempersoalkan sama ada berwajah keanak-anakkan atau jambu menjadi penghalang kepadanya untuk mendapat watak yang berlainan dengan karakter sebenarnya.
Katanya, peluang untuk melakonkan watak lain seperti karakter antagonis atau yang berbeza dengan sifatnya agak tipis untuk dibawakan.
“Kadang-kadang tertanya juga, kenapa susah sangat nak dapat peluang bawa watak macam askar, jahat atau karakter yang jauh daripada diri sendiri?
“Adakah sebab muka jambu ni orang susah nak nampak saya dalam watak yang berlainan?” katanya dalam Thread.
Raja Atiqullah dalam masa yang sama menafikan yang dia cemburu dengan pelakon lain yang lebih berpeluang membawakan watak jenis itu.
“Bukan cemburu, cuma ada kalanya kita pun nak buktikan yang kita boleh buat lebih daripada apa yang orang nampak,” ujarnya.
Katanya lagi, pengalaman bertahun-tahun membuatkan dia sedia menerima apa sahaja watak yang ditawarkan kepadanya.
“Bukanlah nak kata saya ini pelakon terbaik, tapi selepas bertahun-tahun dalam industri ini, saya tahu saya ada pengalaman dan asas yang cukup untuk teroka watak yang lebih mencabar,” kongsinya. – UTUSAN











